Hubungan rumah tangga yang dibina bersama pelakon Ariff Aziz hanya mampu bertahan selama 10 bulan sahaja, produser terkenal Datuk A.Aida berkata tiada siapa yang inginkan perceraian, namun beliau reda jodoh mereka hanya setakat itu sahaja.
A Aida turut menafikan dakwaan kononnya sikap Ariff yang cemburu dan mengambil kesempatan di atas kesenangannya punca sebenar perceraian. Katanya, beliau tidak kisah sama ada lelaki itu berduit atau tidak asalkan boleh menjaga dan menyayanginya.
BACA: A.Aida Sah Bercerai Kali Keempat
“Saya reda dengan apa yang berlaku seperti yang dikatakan tadi, ajal dan jodoh semuanya di tangan Allah. Sama seperti mereka di luar sana siapa yang mahukan perceraian dalam perkahwinan yang dibina.
“Saya sudah mempunyai semuanya. Apa yang saya perlukan adalah cinta dan kasih sayang. Saya tidak kisah soal harta atau kerja apa,” katanya kepada Utusan Online.
Dalam pada itu, A Aida berkata tiada peluang kedua akan diberikan sekiranya Ariff ingin rujuk kembali. Malah, beliau mengakui kesilapannya membuat keputusan untuk cepat berkahwin tanpa mengambil masa untuk mengenai hati budi seseorang itu terlebih dahulu.
“Saya tidak nafikan berkahwin dalam keadaan yang agak tergesa-gesa jadi tidak sempat untuk mengenali dia.
“Saya bahagia dengan keputusan untuk bercerai ini. Jadi tidak lihat jalan untuk kembali bersama dengannya lagi,” katanya.