Bakal melangsungkan perkahwinan pada 5 Jun ini, debaran semakin dirasai oleh pasangan ini malah dalam masa yang sama, Hanis Zalikha mengakui beruntung kerana menjadi tunangan kepada Hairul Azreen selain menjelaskan mereka kini jarang keluar bersama.

BACA: Hanis Zalikha Selamat Bertunang, Nikah 5 Jun Ini


“Saya gembira dan bersyukur sebab semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah. Sekarang saya teruja untuk menuju ke alam perkahwinan pula. Insya-Allah, doakan semuanya akan berjalan seperti dirancang,” jelas Hanis kepada majalah Media Hiburan.

Selain itu, Hanis juga berkongsi cerita mengenai kisah dan pengalamannya merasai sendiri apa yang disifatkan sebagai darah manis malah dia turut mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada ibu bapanya sebelum menjelang perkahwinan.

“Saya percaya apabila orang mengatakan banyak dugaan ketika berdarah manis, kerana syaitan memang tidak suka manusia melakukan perkara baik dan sebab itu setelah bertunang, kami membuat keputusan untuk jarang berjumpa dan elakkan keluar pada waktu malam”

“Selain itu, Hairul dari dulu berpesan dengan saya, jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan sesekali menyebut perkataan putus atau sebaliknya kerana setiap percakapan adalah doa. Jadi saya sentiasa berhati-hati dan kami sedaya upaya menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik,” jelas pelakon dan pengacara manis molek ini.

Manis sungguh saat bertunang kedua pasangan ini. Malah melihatkan dari komen di Instagram milik Hanis, rata-rata peminat Hanis mendoakan yang terbaik kepada pasangan ini. Semoga dipermudahkan urusan menjelang saat pernikahan nanti. (rtky/s)