Kerjasama strategik dengan hospital Malaysia bagi membolehkan jururawat Indonesia berkhidmat di negara ini akan menguntungkan kedua belah pihak.
Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto yang membuat cadangan itu berkata pada masa ini kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.
Beliau berkata, Malaysia pula sedang berdepan dengan masalah tenaga kerja kesihatan termasuk jururawat manakala Indonesia mempunyai lebihan profesional bidang itu.
Katanya, pada masa ini satu kerjasama antara pihaknya dan sebuah hospital di Johor telah dimulakan termasuk pengambilan calon, namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Malaysia.
“Ini memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Jururawat Malaysia dan pihak berkepentingan lain.
“Namun, kami mencuba kerana selama ini belum pernah dilakukan,” katanya yang dipetik berkata kepada Bernama.

Mengulas lanjut Sigit berkata sudah tentu cadangan itu menguntungkan Malaysia dan Indonesia lebih-lebih lagi tiada masalah komunikasi kerana saling memahami.
Katanya jururawat Indonesia kini diiktiraf di banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Australia dan Jerman.
“Mungkin di Johor, Melaka, kemudian di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, hampir semuanya mencatatkan purata 70 peratus pesakit adalah rakyat Indonesia.
“Beberapa hospital di Sabah juga, saya dimaklumkan perkara yang sama,” jelasnya.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal.
Katanya, pihak kementerian telah mengambil pelbagai pendekatan, antara lain meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun masih tidak dapat menampung kekurangan.
Beliau berkata, antara 2020 hingga 2024, seramai 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak meletak jawatan untuk beralih ke sektor swasta.
Tahun lalu, kekurangan jururawat dilaporkan diunjurkan kepada hampir 60 peratus menjelang 2030.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat menyatakan pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan untuk membawa jururawat dari Indonesia berkhidmat di hospital awam di Malaysia.
Beliau berkata, tindakan mengambil pekerja dari luar itu bakal mengecilkan peluang rakyat di negara ini untuk berkhidmat dalam sektor berkenaan.