Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah pun membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan “Membangun Malaysia MADANI” pada Februari lepas dan anda boleh lihat pelbagai inisiatif serta manfaat yang diberikan kepada rakyat termasuk kumpulan M40.
Belanjawan 2023 tidak hanya memfokuskan kepada golongan B40, namun turut menawarkan pelbagai manfaat yang boleh dinikmati oleh M40.
Kerajaan mengambil berat kebajikan golongan M40 dan telah melancarkan banyak inisiatif menerusi Belanjawan 2023 untuk membantu mereka menghadapi cabaran kos sara hidup.
Cukai Pendapatan M40 dikurangkan 2 mata peratusan
Salah satu inisiatif yang menjadi bualan ramai adalah kadar cukai pendapatan individu yang dikurangkan dua mata peratusan bagi golongan berpendapatan melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.
Anwar berkata pengurangan cukai itu bertujuan membantu M40 dengan kenaikan kos sara hidup selain meningkatkan pendapatan boleh guna mereka melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu.
Pengurangan ini dijangka dapat memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai.
Ada Lagi Manfaat Lain
Selain cukai yang dikurangkan, sebenarnya ada lagi yang boleh direbut oleh golongan M40 ini.
Antaranya termasuk bantuan beli rumah (duti setem dan pembiayaan untuk pembeli rumah pertama), elaun untuk program peningkatan kemahiran daripada PERKESO, pas bulanan pengangkutan, pengekalan subsidi bekalan elektrik serta penangguhan dan diskaun bayaran PTPTN yang telah pun dijalankan.
Untuk tahu dengan lebih lanjut, anda boleh lawati https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat/ untuk tahu lebih banyak info dan macam mana anda boleh rebut inisiatif kerajaan yang ditawarkan kepada anda!