fbpx

“Genap Sebulan Pemergian Afnan, Kami Masih Belum Boleh Lupakan”

Sudah sebulan pemergian cahaya mata tercinta, Khairul Afnan pada 30 September lalu, penyanyi yang juga vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat berkata dia dan isteri masih lagi berduka.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Azmi turut meminta orang ramai dapat mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat isterinya, Nazirah Muhammad sempena ulang tahun kelahiran.

BACA: Azmi Saat Risau Isteri Selalu Mengigau, Menangis Rindukan Arwah Anak

“Hari ini (Selasa) hari ulang tahun kelahiran orang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Dialah isteri, sahabat, kawan dan nyawa saya.

“Mohon kawan-kawan doakan dia agar sentiasa dirahmati, diberkati, dilimpahkan rezeki yang berkat, sentiasa dalam kebaikan di dunia dan akhirat.

“Kalau sudi, tolonglah hadiahkan kata-kata positif untuknya. Hari ini genap sebulan Aruah Afnan lahir. Ternyata, dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami,” tulisnya.

Dalam pada itu, Azmi turut berkongsikan keadaan isterinya kini semakin baik namun masih lagi menangis kerana rindukan anak mereka.

“Walaupun keadaannya semakin baik, tapi setiap hari akan ada masa dia menangis kerana rindukan Afnan dan detik-detik indah itu.

“Mudah-mudahan kata-kata positif kalian dapat memberi seribu kekuatan buat dia. Insya Allah. Selamat ulang tahun kelahiran Nazira Muhammad,” luahnya.

Terdahulu, Nazirah selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada 27 September lalu, namun tiga hari kemudian Afnan meninggal dunia kerana mengalami komplikasi fungsi otak.