Cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis di rumah ibadat agama lain perlu mengutamakan dialog dan penerangan yang jelas.
Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, dengan cara itu prinsip yang ingin diterapkan dapat diterima dengan baik.
Tegasnya, hal ini kerana garis panduan itu adalah satu bentuk bimbingan, bukan sekatan dan ia bertujuan memberi panduan moral kepada masyarakat.
“Pelaksanaannya perlu berasaskan pendidikan dan kesedaran, bukan melalui paksaan.
“Pihak berkuasa dan masyarakat perlu mengutamakan dialog dan penerangan yang jelas agar prinsip yang ingin diterapkan dapat diterima dengan baik.
“PKPIM meyakini usaha dialog mampu mencipta titik temu dalam mengukuhkan keharmonian,” katanya.

Muhammad Dzul Aiman Zulkefly
Mesyuarat Kabinet awal bulan ini bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberi nasihat berkenaan keperluan menjaga akidah kepada orang Islam yang menghadiri majlis di rumah ibadat agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam kenyataan bersama berkata nasihat itu bagaimanapun tidak bersifat dasar.
Kata kenyataan itu, setiap dasar yang dirangka juga mestilah mengambil kira aspek perpaduan nasional yang tertakluk kepada kelulusan Kabinet.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar beramah mesra bersama pemimpin agama selepas Majlis Muhibbah Merdeka Bersama Pemimpin-Pemimpin Agama di Putrajaya. – GAMBAR: YADIM
Mengulas lanjut, Muhammad Dzul Aiman menegaskan PKPIM menolak dakwaan cadangan garis panduan itu bersifat ekstrem atau menindas.
Katanya, ia sebenarnya merupakan satu langkah mengangkat nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat secara seimbang dan adil.
Justeru katanya, sebarang dasar berkaitan Islam harus difahami dengan rasional serta dilaksanakan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, usaha memperkukuhkan kefahaman dan pengamalan nilai Islam dalam masyarakat bukanlah satu bentuk sekatan atau penindasan,
“Tetapi ia merupakan satu langkah bertanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan sosial yang lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu katanya, PKPIM berpandangan sebarang perdebatan yang tidak sihat berhubung cadangan berkenaan harus dihentikan agar tidak mengundang kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Sebarang dasar berkaitan Islam harus difahami dengan rasional serta dilaksanakan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zamri Zainal Abidin pula berkata, matlamat utama garis panduan itu adalah bagi menjadi panduan kepada orang Islam untuk menjaga asas perhubungan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan orang Islam tidak bersikap paranoid sehingga menolak untuk menghadiri sambutan perayaan atau upacara kematian jiran atau sahabat berlainan agama.

Zamri Zainal Abidin
“YADIM melihat usaha ini bertepatan dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mementingkan soal perpaduan kaum dan agama di Malaysia yang menjadikan negara ini sebuah negara maju dan berjaya,” tegasnya.