fbpx

Filem Minggu Ini: Taken 3

Taken (2008) anaknya diculik. Taken 2 (2012) isterinya diculik. Kali ini siapa pula yang akan diculik lalu diselamatkan oleh Bryan Mills? Teruskan membaca.

TAKEN 3 (2015) ialah sekuel kepada filem terdahulunya yang menyambung kisah bekas ejen tentera elit Bryan Mills (Liam Neeson) yang diuji musibah kepada keluarganya, sekali lagi! Mungkin kendengaran pengulangan konflik yang hampir serupa dengan filem pertama dan kedua, tetapi itulah hakikatnya kadangkala Hollywood akan memerah pasaran filem komersial sehabis-habisnya dari populariti sesebuah jenama filem untuk mengaut keuntungan yang berlipat-ganda.

Filem ini dibuka seperti genre aksi gengsterisme yang tipikal dengan keperluan sekuen babak pengenalan sekumpulan penjahat berbangsa Rusia yang ganas diketuai oleh Oleg Malankov (Sam Spruell) yang mengugut seorang lelaki untuk memulangkan semula wang yang dimilikinya. Kemudian filem ini barulah memaparkan kehidupan keluarga Bryan yang terkini tanpa apa-apa yang ancaman yang jelas atau kaitan dengan babak pembukaan tadi.

T3-5

Debaran mula terasa apabila Bryan menjadi suspek utama suatu jenayah pembunuhan yang mengakibatkan dia menjadi buruan pihak polis yang diketuai oleh Inspector Franck Dotzler (Forest Whitaker). Maka sekali lagi, Bryan akan berkejar-kejaran berlumba dengan waktu yang amat singkat dan suntuk untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah dan mesti menjejaki siapakah empunya angkara dan kenapa?

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

Kali ini lokasi Taken 3 kembali ke tanah air Amerika sepenuhnya berbanding 2 filem yang terdahulu di Paris dan Istanbul. Ia menyambung kisah dalaman keluarga Bryan Mills tentang anaknya, Kim Mills (Maggie Grace) yang baru hamil dan kisah bekas isterinya, Lenore St. John (Famke Janssen) yang sedang bermasalah rumahtangga dengan suami terkini iaitu Stuart St. John (Dougray Scott).

Kalau dahulu Bryan beraksi di negara orang dan berdepan dengan musuh-musuh yang sememangnya kejam, Taken 3 memberi cabaran kepada Bryan dari pihak berkuasa negaranya sendiri. Di samping itu, Bryan akan disabotaj oleh seseorang yang terdekat dan tidak disangka-sangka serta terjerat dalam permusuhan dengan gengster Rusia yang dirancang kemas oleh orang yang melagakannya. Bryan terpaksa menggunakan semula segala kepakarannya sebagai sebagai bekas askar khas ala komando untuk beraksi ‘one-man show’ dalam sebahagian besar penceritaan sehingga ia selesai.

DM-03656 – Liam Neeson and Forest Whitaker in TAKEN 3.

Kadangkala francais sesebuah filem aksi boleh beranak-pinak sehebat siri filem James Bond atau Jason Bourne kerana pengulangan watak hero yang tidak kiralah siapa pelakonnya kerana setiap filemnya boleh berdikari sendiri dengan konflik yang baru. Filem Taken 3 ini pula terkurung dengan judulnya sendiri yang merujuk plot asas mengenai suatu jenayah penculikan atau ‘taken’.

Namun begitu, dikhabarkan bahawa antara syarat yang diletakkan oleh Liam Neeson untuk membintangi sekuel filem ini ialah ia mesti tidak mempunyai plot mengenai sebarang penculikan? Maka inilah hasilnya. Filem ini menjadi sebuah filem aksi yang monotoni atau kehilangan identitinya menjadi sebuah filem yang begitu kelihatan mengulang formula yang sama dengan kebanyakan filem aksi yang lain sahaja.

Taken 3 sekadar susunan sekuen plot dan keperluan babak-babak aksi wajib yang kerap kali menjadi tarikan tontonan tanpa perlu difikir apa-apa, mindless. Tengok dan enjoy! Maksud saya, filem ini ada babak kejar-mengejar berlari secara fizikal dan langgar-melanggar kenderaan. Misalnya, yang kena ada mestilah kereta polis, kereta penjahat, lori treler panjang, helikopter dan jet! Lokasi aksi-aksinya juga seperti kewajiban iaitu lompat-melompat bangunan, saluran longkang bawah tanah, jalanraya yang sebok, lereng bukit, landasan kapalterbang dan rumah-rumah mewah penjahat! Dan yang paling penting ialah babak-babak letupan! Sangat lengkap.

T3-7

Filem Taken yang pertama ada plot yang begitu berisi mengenai kes-kes penculikan gadis di Perancis untuk dijual sebagai pelacur kelas atasan. Taken 2 pula ada plot yang bersambung dari filem yang pertama melibatkan dendam kesumat dari ahli pengganas yang dibunuh dalam Taken terdahulu. Taken 3 ini hanya tinggal aksi, aksi dan aksi. Konfliknya terlalu ringan dan hanya berkisar kisah peribadi keluarga Bryan yang berkait dengan kumpulan gengster Rusia serta tambahan plot kucing dan tikus di antara Dotzler dan Bryan.

Dari sudut lakonan pula, walaupun dikatakan filem Taken yang pertama dahulu telah berjaya melonjakkan semula nama Liam Neeson sebagai hero veteran yang lasak, namun filem ini seolah-olah cuma kerja lakonnya yang mudah dan sesuai untuk filem yang terus ke pasaran blu-ray dan dvd sahaja. Aksi fizikal dan stunt oleh Liam nampak begitu diselamatkan oleh suntingan filem yang choppy, singkat dan cepat semasa bergaduh. Mungkin kerana faktor usia.

Watak anak Bryan, Kim Mills yang menjadi punca utama hebatnya filem Taken 1 & 2 kali ini juga sekadar tempelan yang tidak banyak membantu apa-apa pengembangan cerita, sekadar menjadi seseorang yang mesti dilindungi oleh Bryan. Begitu juga watak baru Inspector Franck Dotzler (Forest Whitaker) yang cuma membayangi watak Bryan sahaja seumpama ‘ensiklopedia’ menerangkan kepada anggota polis yang lain mengenai latar belakang kepakaran Bryan Mills. Ya! Info itu penonton sudah tahu sejak filem yang pertama OK!

KESIMPULAN

T3-1

Taken 3 memang wajar dijadikan finale kepada trilogi filem watak tua Bryan Mills milik Liam Neeson. Kalau mahu dibikin lagi, Taken 4 dan seterusnya mungkin boleh dijadikan reboot atau remake semasa watak Bryan muda lakonan orang lain. Tontonlah filem ini sambil makan bertih jagung tanpa perlu pening kepala.

Filem ini saya berikan hanya 3 BIJI ROTIKAYA.