fbpx

Filem Minggu Ini — Non-Stop Bukti Liam Neeson Masih Berbisa

Pernahkah anda merasai waktu bergerak begitu perlahan dan perasaan bosan menunggu semasa duduk di dalam sebuah kapalterbang yang sedang menuju ke destinasi berjam-jam? Tiada apa-apa yang anda mampu lakukan selain dari tidur. Tahukah anda di sepanjang perjalanan itu, mungkin ada seseorang sedang memerhatikan semua aktiviti untuk memastikan keselamatan semua penumpang? Filem ini menyorot ‘siapakah’ orang itu dan apa yang akan terjadi sekiranya sesuatu ancaman nyawa penumpang berlaku?

Non-Stop (2014) ialah sebuah filem aksi misteri thriller arahan Jaume Collet-Serra yang terkenal dengan arahan filem-filem seram House of Wax (2005) dan Orphan (2009). Non-Stop ditunjangi oleh Liam Neeson sebagai hero bernama Bill Marks iaitu seorang anggota U.S. Federal Air Marshal atau polis dalam kapalterbang komersial. Tugas utamanya ialah memastikan setiap kapalterbang yang dinaiki dan diawasi bersama seorang lagi rakan sejawatan, supaya sentiasa selamat dari sebarang ancaman pengganas atau perampas. Identiti mereka tidak dikenali dan menyamar sebagai penumpang biasa.

Kisahnya bermula semasa Bill bersiap-siap hendak menaiki sebuah kapalterbang ‘British Aqualantic 767’ di Lapangan Terbang JFK. Destinasi tanpa henti atau ‘non-stop’ pesawat itu ialah dari New York ke London. Jelas digambarkan bahawa Bill sedang kepenatan dan pemabuk, memberi petanda bahawa penerbangannya kali ini antara yang berisiko.

NS7

Sebelum berlepas Bill sempat menghisap rokok sambil memerhatikan satu pasangan yang mesra, mengucap selamat jalan dan selamat tinggal. Jelas bahawa Bill resah melihat kemesraan pasangan itu kerana dia sedang dilanda masalah peribadi keluarga. Bill kemudiannya ditegur oleh seorang lelaki, Tom Bowen (Scoot McNairy) yang mahu meminjam pemetik api. Namun dia seakan acuh tak acuh kerana fikirannya sedang berkecamuk.

Apabila Bill menaiki pesawat, filem ini memperkenalkan watak-watak lain yang bakal berkait dalam pengembangan ceritanya. Antaranya, watak Jen Summers (Julianne Moore) wanita yang bertukar tempat duduk dengan Zack White (Nate Parker) iaitu seorang programmer telefon pintar. Jen duduk bersebelahan dengan Bill. Selain itu, diperkenalkan watak Nancy Hoffman (Michelle Dockery) ketua pramugari yang dibantu oleh rakan sekerjanya Gwen Lloyd (Lupita Nyong’o) serta seorang lagi U.S. Federal Air Marshal iaitu Jack Hammond (Anson Mount).

Kapalterbang pun berlepas tanpa sebarang masalah. Kisah Non-Stop mula menyentak apabila pada ketinggian 40,000 kaki, Bill menerima pesanan ringkas dari seseorang yang tidak dikenali di telefon khas miliknya. Pesanan itu berisi amaran keras iaitu pada setiap 20 minit salah seorang penumpang akan dibunuh sekiranya tuntutan wang tebusan berjumlah 150 juta USD tidak dipindahkan secara online ke dalam satu nombor khas akaun bank.

NS3

Persoalan taruhan utama filem ini ialah benarkah ugutan itu atau sekadar satu gurauan? Kalau benar, Bill mesti bertindak dengan segera untuk mengenalpasti siapakah penghantar pesanan ringkas itu yang merupakan penumpang di dalam kapalterbang. Atau apakah semuanya itu hanya halusinasi Bill kerana kepenatan dan tekanan mental? Untuk mengetahui kesudahannya anda wajib saksikan filem ini di pawagam sekarang!

Non-Stop ialah sebuah filem yang mampu mendesak antisipasi serta mengajak penonton untuk ikut sekali apa yang dirasai oleh si hero, Bill Marks dalam suasana sempit sebuah kapalterbang. Dengan gaya naratif mirip ‘Hitchcockian’ ia bermain teka-teki dan persepsi di sepanjang penceritaannya. Sejak bermulanya konflik penerimaan pesanan ringkas itu, penonton mahu berpihak kepada Bill dan mempercayainya walaupun ditidakkan oleh watak-watak lain.

Persoalan paling asas kepada Bill dan penonton ialah ‘whodunit’? Siapa dalang dan apa motif tuntutan wang sebanyak itu tetapi memeras-ugut dari dalam kapalterbang yang sama? Kita mengikuti siasatan satu-persatu, seorang demi seorang penumpang oleh Bill dan tidak terkecuali 2 orang juruterbang iaitu Captain David McMillan (Linus Roache) dan Kyle Rice (Jason Butler Harner) serta semua pramugari pesawat itu. Semuanya menjadi suspek. Malahan ada ketikanya penonton boleh merasa gusar kepada Bill sama ada dia benar-benar hero atau sebaliknya sebagai penjahat yang mengatur sendiri ugutan dan cubaan rampasan kapalterbang itu?

NS6

Filem ini mengangkat watak Bill Marks, seorang Federal Air Marshal yang terpaksa berkeras kepada orang awam dalam sesuatu situasi genting di udara demi menjamin keselamatan semua penumpang kapalterbang memang membayangi sikap tegas Amerika selepas tragedi 9/11 dahulu. Namun begitu, dalam Non-Stop ia tidak dipaparkan sebagai propaganda prejudis kepada watak Dr. Fahim Nasir (Omar Metwally) malahan dia membantu untuk cuba memulihkan orang-orang yang diracun.

Non-Stop dibayangi oleh garapan filem-filem beraksikan rampasan kapalterbang atau ugutan dalam pesawat seperti Executive Decision (1996), Air Force One (1997), Red Eye (2005) dan Flightplan (2005). Ruang terhad lokasi kejadian filem ini juga seolah filem-filem ‘terperangkap’ iaitu Die Hard (1988) dan Panic Room (2002). Sementara itu teknik pengejaran masa atau ‘ticking clock’ serta kebergantungan kepada pesanan ringkas yang dihantar setiap 20 minit mengingatkan saya kepada Speed (1994) dan Phone Booth (2003).

NS2

Liam Neeson walaupun dalam usia awal 60-an tetapi masih gagah menjadi hero filem ini dan melakonkan aksi-aksi stunt sendiri. Julianne Moore seperti biasa, lakonannya bagus manakala Michelle Dockery ialah aktres British yang semakin menyerlah. Walaupun penampilan Lupita Nyong’o sekadar cameo sahaja kerana pembikinan filem Non-Stop sebelum namanya dijulang di anugerah The Oscars 2014, tetapi sudah tentu membantu pemasaran maksima filem ini.

Dari sudut pengarahan, Jaume Collet-Serra meneruskan kualiti sekuen babak aksi seperti filem arahannya sebelum ini Unknown (2011) dengan pelakon yang sama, Liam sebagai hero. Mungkin cabaran serta juga memudahkan pengarahannya ialah lokasi penggambaran Non-Stop yang sangat terhad dalam sebuah ‘kapalterbang’ yang mampu mengundang rasa ‘claustrophobia’. Dikatakan bahawa 90% penggambaran dibikin di set yang mengikut skala sebenar sebuah pesawat komersial. Suntingan yang pantas dengan babak-babak pendek memadatkan lagi penceritaannya sehingga ke puncak klimak cerita yang sangat runcing!

NS1

KESIMPULAN

Non-Stop seperti judulnya berjaya menyalurkan emosi berdebar-debar tanpa henti kepada penonton. Kalau anda mahu merasai seolah-olah bangku di panggung wayang yang diduduki seperti kerusi di dalam kapalterbang yang sedang dalam bahaya, inilah filemnya!

Saya teruja suka dan berikan 4 BIJI ROTIKAYA.