fbpx

Filem Brother Of The Year Bakal Temui Penonton June Ini

Jika anda sedang mencari filem romantik komedi untuk ditonton, kami sarankan kepada anda untuk terjah pawagam 28 June ini bagi menyaksikan sendiri filem terbaru Brother Of The Year.

Sebuah filem dari negara Thailand yang berkonsepkan romantik komedi arahan Vithaya Thongyuyong ini, akan membuatkan anda tidak kering gusi apabila melihat telatah dua beradik yang sering bergaduh dek kerana sikap abangnya yang sangat pemalas.

Menarik lagi, sikap mereka yang sentiasa berlawanan ini pastinya akan membuatkan anda melihat betapa tingginya nilai tanggungjawab seorang abang dalam memastikan tindak tanduk adik perempuannya ketika menjalin cinta.

Filem Brother Of Years yang dibintangkan oleh pelakon hebat Thailand seperti Sunny Suwanmethanont, Urassaya Sperbund dan Nichkhun Horvejkul akan membuatkan anda tidak berganjak selagi belum tamat jalan cerita yang penuh dengan kelucuan ini.

Buat peminat-peminat filem Thailand, inilah masanya untuk anda membawa rakan-rakan mahupun keluarga anda menonton filem yang sedikit sebanyak menyifatkan kekeluargaan.

Sepintas lalu mengenai sinopsis filem ini bermula apabila watak Chut yang dilakonkan oleh Sunny Suwanmethanont dan Jane lakonan Urassaya Sperbund merupakan pasangan adik beradik yang tinggal bersama tanpa kedua ibu bapa mereka.

Sikap pemalas Chut membuatkan Jane bertindak sebagai seorang ibu dalam memastikan kekemasan rumah dan juga pakaian mereka yang sering diambil ringan oleh Chut.

Sikap bersahaja Chut itu juga membuatkan Jane bertambah marah apabila Chut tidak mengendahkan apa sahaja yang diperkatakan oleh Jane.

Kemuncaknya jalan ceritanya apabila Chut dapat menghidu perubahan Jane dan mensyaki bahawa adiknya itu sedang berkenalan dengan seorang lelaki. Tindakan Chut yang luar jangkaan Jane itu membuatkan dia merahsiakan hubungan daripada Chut.

Pelbagai halangan yang dilakukan oleh Chut untuk memastikan hubungan adik perempuannya itu hancur dan saat inilah Chut menjadi matang dan bertindak sebagai seorang abang dimana selama ini sikapnya seperti seorang adik yang pemalas.

Opss! Rasanya tidak menariklah jika kami cerita kesemua jalan cerita di sini. Apakata anda serbu pawagam 28 June ini untuk tahu kesudahan cerita ini.

Mampukah Chut menghalang kisah cinta Jane bersama teman lelakinya Moji? Apakah yang akan dilakukan oleh Chut untuk menjauhkan Moji daripada Jane?

Pelbagai kisah lucu yang akan dipaparkan dalam filem Brother Of The Year ini dan pastinya watak Chut akan membuatkan anda tidak kering gusi.