Teka teki mengenai status rumah tangga Fikry Ibrahim akhirnya terjawab apabila pelakon dan pengacara itu mengesahkan sudah berpisah dengan isterinya, Khaliza Alihan.
Menerusi perkongsian di Instagram sebentar tadi, Fikry memaklumkan dia memilih untuk mengambil masa untuk berkongsikan kerana perlukan ruang serta kekuatan menerima ketentuan takdir.
BACA: Fikry Ibrahim, Isteri Saling ‘Unfollow’ Di Instagram
“Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri telah berpisah sejak 173 hari yang lalu. Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.
“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuanNya,” katanya.
Sementara itu, Fikry berkata tiada pihak yang perlu dipersalahkan dalam perpisahan mereka itu serta mendoakan agar bekas isterinya itu diberikan kebahagiaan dan sentiasa dipelihara Allah.
Dalam pada itu, Fikry berkata meskipun mereka tidak lagi bersama namun dia mengucapkan terima kasih buat wanita itu kerana pernah menjadi isterinya.
“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza.
“Saya doakan semoga dia sentiasa dipelihara Allah, dipermudahkan segala urusannya, dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya. Dan saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Terdahulu, Khaliza pernah memfailkan permohonan cerai pada Mei tahun lalu, namun menarik semula permohonan itu pada Jun. Fikry Ibrahim dan Khaliza mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup pada 12 Februari tahun lalu.