FIFA Denda FAM, 7 Pemain Warisan Digantung Kerana Dokumen Palsu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain skuad kebangsaan berdepan tindakan tegas daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas disabitkan kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kelayakan pemain untuk beraksi dalam perlawanan rasmi.

Menurut kenyataan rasmi FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang telah dipalsukan bagi memastikan kelayakan beberapa pemain untuk diturunkan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Antara pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, perlawanan yang kemudiannya mencetuskan aduan rasmi kepada FIFA mengenai status kelayakan pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Sebagai hukuman, setiap pemain dikenakan denda sebanyak CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta. Selain itu, isu kelayakan mereka untuk mewakili Malaysia kini dirujuk kepada Tribunal Bolasepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.

FAM dan pemain-pemain terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut, namun mereka masih berpeluang mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Sebelum ini, laporan media Indonesia pada Julai lalu mendakwa kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam mungkin dibatalkan susulan dakwaan bahawa sebahagian pemain naturalisasi tidak layak beraksi.

Sekiranya terbukti, keputusan tersebut boleh dibatalkan dan kemenangan 3-0 akan diberikan kepada Vietnam. Namun, FAM ketika itu menolak dakwaan tersebut dan menegaskan semua prosedur telah dipatuhi.

Untuk rekod, sembilan daripada 11 pemain utama Malaysia dalam perlawanan tersebut merupakan pemain naturalisasi, termasuk lima – Figueiredo, Holgado, Irazabal, Garces dan Machuca – yang hanya menerima kelulusan FIFA beberapa jam sebelum sepak mula.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John turut mengesahkan perkembangan ini secara ringkas kepada BH Sukan.

×