fbpx

Fazura Tolak Watak Rebut Lelaki

kSelepas mendirikan rumah tangga, sudah lama rasanya tidak melihat Nur Fazura di kaca televisyen. Pasti ramai yang rindu untuk menonton lakonannya.

Memetik laporan Kosmo! Fazura berkata minatnya dalam bidang lakonan masih lagi menebal namun dia meletakkan syarat untuk setiap watak yang dibawanya selepas ini.

BACA: Usia Makin Meningkat, Fazura Nak Tambah Anak Lagi

“Sejujurnya memang rindu nak berlakon tetapi setakat ini tawaran yang saya dapat tiada lagi yang berjaya menambat hati ditambah pula sangat seronok berniaga ketika ini.

“Kebanyakan drama berkisarkan cinta tiga segi atau ada adegan berebut lelaki yang bagi saya, tiada manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, Fazura mendedahkan banyak menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak apabila sering ditawarkan watak yang sama sahaja.

“Memang dapat banyak tawaran berlakon tetapi saya tak nak lagi membawa watak yang berkonsepkan cinta bersegi atau melakonkan adegan merebut lelaki. Kita sebagai wanita tak perlu buat perkara sedemikian.

“Tetapi saya sedar dan tahu ramai penonton kita yang suka jalan cerita sebegitu sebab sangat ringan. Cuma secara peribadi, saya dah kerap memegang watak sedemikian. Jadi saya tak mahu membawa watak yang sama,” katanya.

Sementara itu, Fazura memaklumkan dia akan muncul dalam drama berkonsepkan islamik tidak lama lagi dimana watak diberikan antara yang diidamkannya.

“Insya-Allah, pada tahun ini ada satu tawaran yang berjaya menambat hati saya iaitu sebuah drama yang membawa konsep islamik. Jalan ceritanya memartabatkan hak kaum wanita yang sudah lama saya idamkan selama ini.

“Saya berasa sangat teruja kerana ini adalah hadiah kepada peminat yang telah lama menanti dan rindukan lakonan saya,” katanya.