fbpx

Fattah Amin Nyanyi Lagu Nasyid, Hadiah Istimewa Untuk Anak

Melancarkan single terbaru berunsur Islamik berjudul Kiriman Agung, pelakon dan penyanyi Fattah Amin berkata lagu tersebut adalah istimewa untuk anak sulungnya yang bakal lahir tidak lama lagi.

Menurut Fattah, lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya itu merupakan doa dan harapan seorang bapa untuk anaknya. Ujarnya lagi, lagu tersebut adalah lahir dari hatinya untuk disampaikan kepada para pendengar.

BACA: Sarat 8 Bulan, Fattah Amin Bimbang Fazura Masih Kuat Bekerja

“Lagu ini adalah hadiah buat anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. InsyaAllah. Lagu ini lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriat yang bakal dilahirkan.

“Bagi saya lagu ini bukan saja untuk saya tapi juga buat mereka yang bakal bergelar bapa. Lagu ini keseluruhan idea dan konsep datang daripada saya. Saya bagi direction kepada Hafiz dan Fedtri untuk buat lagu ini.

“Saya ceritakan pada mereka macam mana yang saya mahukan untuk lagu ini. Jadi secara asasnya lagu ini lahir dari hati saya untuk disampaikan kepada pendengar,” katanya kepada mStar Online.

Berkongsi mengenai genre lagu tersebut, Fattah berkata dia sudah lama mahu menyanyikan lagu ketuhanan dan proses rakaman lagu itu memberi pengalaman baru buat dirinya sebagai penyanyi.

“Sebenarnya saya sudah lama nak nyanyi lagu ketuhanan atau Islamik. Tapi ini kali pertama dapat peluang daripada Universal Music Malaysia dan dapat pula berkolaborasi dengan Hafiz dan Fedtri.

“Nak cakap susah atau tak tentu saja susah. Apatah lagi ini percubaan pertama saya sebab tak pernah nyanyi lagu seperti ini. Tapi Alhamdulillah dapat tunjuk ajar daripada penerbit,” katanya.