fbpx

Fattah Amin Nafi Tipu Duit Stokis, Rakan Kongsi Lari

Sebelum ini, sebuah portal hiburan mendedahkan menerima kiriman email daripada seorang ejen produk MRP Sup DIET & Berrytox dibawah syarikat MRP International SDN BHD milik pelakon Fattah Amin.

Individu itu mendakwa ejen-ejen berasa tertipu selain mengalami kerugian apabila sudah banyak melaburkan wang tetapi produk tidak dapat dijual kerana Fattah dikatakan tidak lagi rancak mempromosikan produknya itu seperti sebelum ini.

BACA: Terkejut Dengan Tuduhan, Fattah Amin Nafi Tipu Peminat

Dalam satu sidang media semalam, Fattah menegaskan dia tidak pernah bersekongkol atau menipu pihak stokis malah tidak terlibat dalam kes penipuan tentang produk tersebut.

Menurut Fattah lagi, 80 stokis yang menjual produk kesihatannya itu telah ditipu oleh rakan kongsinya. Ujarnya lagi, dia cuba menghubungi rakannya itu namun usahanya itu gagal.

“Saya rasa bersalah, ralat dan tidak dapat tidur selaga isu ini tidak dapat diselesaikan. Apabila saya mendapat tahu perkara ini hujung tahun lepas, saya cuba hubungi rakan kongsi saya bagi mendapatkan penjelasan, tapi usaha itu gagal.

“Jadi dalam isu ini, saya seorang selebriti saya yang terkena tempias dan semua orang akan cari saya,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Fattah sudah pun membuat laporan polis pada 8 Mac lalu di Balai Polis Dang Wangi. Laporan itu dibuat bagi membersihkan nama baik dan imejnya sebagai seorang selebriti.