fbpx

Fasha Sandha, Suami Tak Gemar Tayang Kebahagiaan Berlebihan Di Media Sosial

Sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aidil Aziz, pelakon Fasha Sandha berkata dia tidak mempunyai sebarang rahsia kebahagiaan.

Fasha berkata dia dan suaminya lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana serta menerima kekurangan pasangan.

BACA: Aidil Aziz Tak Kisah Fasha Sandha Gemuk

“Tiada apa-apa rahsia kehidupan harmoni yang kami jalani. Sama sahaja seperti pasangan lain. Cuma mungkin kami memilih untuk menerima kekurangan masing-masing selain hidup dalam serba sederhana saja.

“Bagi saya hidup bersederhana itu penting kerana mampu membibitkan rasa bahagia. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Syukur dengan apa yang dilalui,” katanya.

Dalam pada itu, Fasha berkata dia juga tidak gemar menayang kebahagiaan rumah tangga secara berlebihan di media sosial. Namun, baginya terpulang pada hak masing-masing untuk mencorakkan media sosial.

“Kita boleh berkongsi tetapi sebaiknya tidak keterlaluan, sederhana saja. Dalam apa yang kita buat jangan berlebihan. Sebab saya percaya bila berlebihan itu, ada ketikanya ia boleh datangkan masalah semula kepada kita. Saya dan suami sangat bersederhana.

“Bagaimanapun, ia terpulang juga kepada individu. Bagi saya, itu adalah sosial media yang kita punya. Jadi sudah tentu kita ada hak untuk mencorakkannya,” katanya.

Fasha mendirikan rumah tangga dengan Aidil Aziz pada Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Aisha Amaira Mohd Aidil.

Menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 7, dan Putri Raysha Jemyma yang kini berusia lima tahun.