fbpx

Farid Kamil Khatam Al-Quran Dalam Masa 30 Hari Di Penjara

Menjalani hukuman penjara selama dua bulan setengah merupakan pengalaman yang tidak ternilai pernah dilalui oleh pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil. Menurut Farid, sepanjang tempoh tersebut dia mendekatkan diri dengan Allah dan perbanyakkan ibadah.

Kata Farid, dalam keadaan bebas seperti sekarang pun belum tentu kita ada peluang untuk melakukan semua itu. Ujarnya lagi, ketika dipenjara dia melakukan perkara yang tidak pernah dibuat seprti bangun untuk solat tahajud dan khatam Al-Quran.

BACA: Farid Kamil Dibenar Tangguh Hukuman Penjara 9 Bulan

“Saya dapat bangun solat tahajud dan khatam Al-Quran dalam masa sebulan. Itu adalah antara perkara yang tak pernah saya buat dalam hidup tetapi dapat dilakukan ketika berada dalam penjara.

“Secara umumnya, dalam setiap kebaikan, ada keburukan. Pengalaman ketika berada di sana (penjara) adalah perkara baru yang sukar untuk saya terjemahkan dengan kata-kata,” katanya kepada Harian Metro.

Terbuka berkongsikan pengalamannya selama berada di dalam penjara, Farid berkata dia sangat terharu diterima baik oleh banduan yang berada di sana. Malah, mereka turut memberikan sokongan serta semangat kepadanya.

“Apa yang menarik, saya berpeluang menilai diri. Selain itu, saya juga diterima dengan sangat baik oleh mereka (banduan) yang berada di sana. Ia membuatkan saya terharu.

“Mereka tahu dan mengenali saya. Di sana, mereka beri sokongan kepada saya untuk jangan mudah jatuh, tetapi bangun semula dan teruskan berlari,” katanya.

Pada 15 Mei tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Farid selepas memilih untuk berdiam ketika diperintahkan membela diri.

Selepas dijatuhkan hukuman, Farid terus dihantar ke penjara apabila mahkamah menolak permohonannya untuk penangguhan. Selepas 35 hari ditahan di Penjara Kajang, Farid dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuannya selesai.