fbpx

Farid Kamil Gagal Gugurkan Lima Pertuduhan Jenayah

Susulan mengenai dakwaan kes dadah dan tuduhan mencederakan anggota polis serta orang awam pada Januari lalu, Pejabat Peguam Negara hari ini menolak representasi dikemukan oleh Datuk Farid Kamil bagi menggugurkan lima pertuduhan kes jenayah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham. Dalam pada itu, Farid Kamil berkata beliau akan menghantar representasi kedua secepat mungkin.

BACA: Farid Kamil Didakwa Buat Laporan Palsu

“Kita terima keputusan yang ditetapkan dan perbincangan akan dilakukan seterusnya bersama peguam saya untuk mengemukakan representasi kali kedua,” katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, Farid dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari dan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Farid turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.