Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai video menampilkan pelakon Diana Danielle duduk bersebelahan bekas suaminya, Farid Kamil bagi menjayakan sebuah program.
Malah, menerusi Insta Story Farid dilihat ada memuat naik video Diana sedang ditemu bual dengan emoji lelaki sedang dilamun cinta menjadi perhatian ramai.
Sementara itu, menerusi temu bual pendek yang dikongsikan di TikTok program berkenaan, Farid dan Diana seakan memberi bayangan mereka dalam proses rujuk semula.
“Walaupun apa yang terjadi adalah satu musibah. Ia sebenarnya kalau dilihat, merupakan satu nikmat juga,” kata Farid.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut mendoakan agar pasangan itu kembali rujuk semula dan perbaiki kelemahan masing-masing demi rumah tangga.
Bagaimanapun, setakat ini masih tiada kenyataan rasmi daripada kedua-dua pihak mengenai spekulasi itu.
Terdahulu, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.