fbpx

Farid Kamil Nak Bina Litar Lumba Untuk ‘Mat Rempit’

Pelakon dan penerbit, Farid Kamil meluahkan hasratnya untuk membina litar lumba khas untuk ‘mat rempit’ jika filemnya, Remp-It 2 berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

Memetik Harian Metro, Farid berkata tujuan untuk membina litar lumba golongan tersebut untuk mengekang aktiviti lumba haram di jalan raya.

BACA: Hukuman Penjara & Gelaran Datuk Ditarik, Farid Kamil Anggap Ujian Untuknya

“Gejala lumba haram menjadi perkara yang saya sasarkan apabila menghasilkan filem. Dulu saya tak boleh nak bendung sebab turut terbabit sama berlumba haram.

“Apabila jadi pembikin filem, saya ambil tanggungjawab untuk buat sebaik mungkin kepada golongan penunggang motosikal supaya mereka lebih selamat di jalan raya dan selamat sekiranya ingin berlumba,” katanya.

Dalam pada itu, Farid berkata dia tidak mahu golongan motosikal terus dipandang seorang oleh masyarakat.  Ujarnya lagi, negara kita bukanlah tidak litar lumba, sebaliknya golongan ‘mat rempit’ ini sangat sensitif dan suka merajuk. Kadangkala mereka tidak berpuas hati dengan syarat, jadi mereka tak suka masuk litar.

“Mereka fikir baik meronda bawa awek. Perkara inilah orang kata, bila ada egonya, bawa perempuan, laju dan kawan pula provokasi buat jadi macam-macam.

“Benda-benda itu yang saya cuba alihkan antaranya dengan buat filem dan hasilkan dialog-dialog yang membina,” katanya.

Kongsi Farid lagi, dia aktif turun padang bertemu mereka bercerita tentang kesakitan dialami seperti sakitnya patah tangan dan menerapkan perkara positif kepada mereka agar tidak terbabit dengan gejala itu.

“Saya pernah bagi baju, helmet tapi mereka tak nak pakai. Saya juga nasihatkan agar berlumba di litar tapi mereka tak suka,” katanya.