fbpx

Farid Kamil, Aaron Aziz Dapat Gelaran Datuk

Harian Metro hari ini melaporkan yang pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari dan artis kelahiran Singapura, Aaron Aziz antara 169 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan.

Farid Kamil dan Aaron Aziz masing-masing menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Isteri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datin Seri Anggraini Sentiyaki mendahului senarai nama penerima pingat yang menerima Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama 21 individu lain.

Sultan Ahmad Shah juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada enam penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) lapan individu, Ahli Mahkota Pahang (AMP) 20 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) enam penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 13 individu. (rtky/m)