fbpx

“Farhan Terima Saya Seadanya Ketika Zaman Saya Berisi”

Hampir sebulan mengikat tali pertunangan, pelakon Zulin Aziz selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan, Farhan Norzaini dengan sekali lafaz pagi tadi.

Menurut Zulin, kesungguhan dan keluhuran hati Farhan membuatkan dia tertawan dengan Farhan. Malah, Zulin berkata suaminya menerima dirinya seadanya.

BACA: Zulin Aziz Sah Bergelar Isteri Farhan

“Dia bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga pendengar setia. Saya selesa bersamanya dan boleh meluahkan apa sahaja.

“Tiada rahsia antara kami. Dia menerima saya seadanya sejak zaman saya berisi dan berjaya menurunkan berat badan.

“Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada bakal anak kami kelak… Insya-Allah,” katanya.

Ditanya mengenai soal zuriat, Zulin berkata dia dan suami belum dapat memberi kata putus dan terbuka menerima rezeki yang diberikan Allah.

“Soal cahaya mata, baik saya dan suami terima saja rezeki yang Tuhan beri. Saya pun lagi tujuh tahun nak menginjak usia 40 tahun.

“Saya dan suami beruntung kerja dalam bidang sama iaitu perniagaan Sambal Tujuh. Jadi. sambil bekerja, selitlah mana sempat untuk berbulan madu.

“Rancangannya macam hendak pergi Turki, tetapi situasi semasa pandemik COVID-19 membimbangkan… Belum ada kata putus,” katanya.

Pasangan itu bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi di premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam malam ini. Terdahulu, Zulin selamat mengikat tali pertunangan pada 28 Januari lalu.