Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berharap Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus mengangkat martabat muzik tradisional Malaysia ke persada dunia, selain menyinari industri seni tanah air.
Harapan itu dizahirkan beliau selepas menyaksikan Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, yang disifatkannya sebagai persembahan memukau dan sarat dengan keindahan warisan budaya.
“Teruslah menyinari industri seni tanah air dan mengangkat martabat muzik tradisional Malaysia ke seluruh dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Fahmi yang hadir bersama isterinya turut meluahkan rasa terhibur dengan persembahan bertenaga Siti Nurhaliza dan pasukannya sepanjang konsert berkenaan.

“Malam yang penuh keindahan seni dan irama tradisional.
“Saya dan isteri amat terhibur menyaksikan Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
“TokTi dan pasukan telah menyajikan persembahan yang begitu bertenaga, memukau dan sarat dengan keindahan warisan budaya.
“Tahniah dan syabas, Biduanita Negara!” katanya.
Konsert anjuran SN Legacy itu berjaya menghimpunkan kira-kira 63,000 penonton meskipun berlangsung dalam keadaan hujan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyaksikan persembahan berkenaan dan dilihat memakai baju hujan ketika menikmati konsert bersama puluhan ribu peminat.
Persembahan selama kira-kira tiga jam itu menampilkan lebih 30 lagu klasik, selain mengangkat keunikan warisan Nusantara menerusi tarian zapin, wayang kulit dan busana tradisional.
Konsert berkenaan turut dimeriahkan penyanyi jemputan termasuk Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta dua artis Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.
KREDIT GAMBAR: FACEBOOK FAHMI FADZIL