fbpx

Ezlynn Nak Cari Madu, Mahu Cukupkan Suami Ada Empat Isteri

Baru dua bulan berkahwin dengan penderma hati pertama negara Wan Mohd Hafizam Wan Ismail pada 11 September lalu, penyanyi Ezlynn memberitahu mahu mencari isteri baru untuk suaminya.

Menurut Ezlynn, keputusan itu dibuat kerana dia terlalu menyintai suaminya serta mahu mencari ‘saham akhirat’. Ujarnya, siapa yang berminat boleh menghubunginya di Instagram.

BACA: Ezlynn Musykil Jumpa Pasir Misteri Dalam Rumah

“Dalam Islam pun membolehkan lelaki berkahwin empat. Saya nak cukupkan suami saya ada empat isteri. Kalau ada yang sanggup bermadu dengan saya, boleh terus mesej di Instagram.

“Kita hidup hanya sementara, mesti kena gembira. Jom mengorak langkah menuju ‘jannah’ (syurga). Saya mengangkat sunnah Rasullullah SAW, dan saya yakin boleh hidup bermadu,” katanya.

Kata Ezlynn lagi, dia sudah mula bertanyakan beberapa orang individu dan ada yang sudah bersetuju untuk menjadi madu baharunya.

“Cuma saya masih lagi cari yang sesuai untuk dia. Suami memang tahu berkenaan perkara ini kerana saya mengutarakan ‘hajat’ dan kami sudah bincang mengenainya.

“Sebab itulah saya putuskan nak cari madu yang baik dan sesuai, yang sudi terima saya sebagai madu juga. Maksudnya berkahwin dengan saya sekalilah dan bukan dengan suami saja. Sebabnya, nanti banyak perkara perlu dilakukan oleh kami bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ezlynn berkata dia amat mementingkan kebahagiaan suaminya dalam masa yang sama mahu mengangkat sunnah Rasullullah SAW.

“Kebahagian suami penting bagi saya. Dalam dunia ini saya dah tak perlu apa-apa lagi. Saya nak cari saham akhirat saja. Mana-mana yang boleh saya dapat reda Allah dan ‘syafaat Rasulullah’, saya akan ikut. Inilah hadiah buat suami saya,” katanya.

Terdahulu, Ezlynn dan suami, Wan Hafizam berkenalan ketika sama-sama terbabit dalam aktiviti amal dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun lalu.