fbpx

Erra Fazira Pernah Alami Depresi, Kurung Diri Seminggu

Bukan mudah untuk bergelar selebriti, mental dan fizikal perlu kuat serta perlu bersiap sedia untuk menempuh dengan segala tanggapan liar orang ramai. Segala kecaman dan tohmahan orang ramai juga boleh menjadi punca utama kemurungan.

Primadona Erra Fazira mendedahkan dia juga tidak terkecuali daripada mengalami situasi tersebut. Menurut Erra, selama bergelar anak seni bermacam-macam kontroversi dilalui olehnya, namun ia merupakan cabaran utama apabila dia memilih untuk menceburi industri ini.

BACA: Erra Fazira Dedah Punca Keluarga Shahir Datang

“Suku abad menjadi anak seni, macam-macam yang saya lalui. Namakan apa jua kontroversi, saya hadapi satu demi persatu. Itu adalah cabaran utama buat anak seni. Tak hidup dipuji, tak mati dikeji. Saya kuatkan hati, jadi positif dan menganggap apa yang terjadi sebagai proses mematangkan diri,” katanya kepada Utusan Online.

Erra mengakui pernah mengalami masalah kemurungan sehingga dia mengurung dirinya di bilik selama seminggu dan baginya kemurungan sememangnya menyakitkan.

“Saya pernah mengalami kemurungan. Duduk berkurung di bilik selama seminggu. Langsung tidak mahu keluar rumah, tak nak buat apa-apa aktiviti. Badan pula terlalu lemah. Mental pula asyik terfikir dengan apa orang luar kata tentang saya. Ya, kemurungan itu memang menyakitkan.

“Tapi pada hari kelapan, saya paksa diri untuk bangkit juga. Saya memikirkan ada tanggungjawab yang belum selesai. Itu yang saya kuatkan semangat dan menyibukkan diri kerana itu satu-satunya cara dapat melupakan permasalahan yang ada,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Erra turut menasihati mereka yang mengalami masalah sama untuk perbaiki keadaan dan terus mencari penyelesaian bagi merawat kesedihan tersebut.