Drama bersiri Teman Lelaki Upahan bakal melabuhkan tirai pada episod terakhirnya pada hari ini malah hubungan Kyra Lydia dan EL makin tegang? Rasa cinta El yang mekar buat Kyra Lydia dahulunya berganti menjadi dendam setelah Kyra membatalkan perkahwinan mereka.

Drama yang mula ditayangkan pada 9 Februari lalu ternyata menjadi tumpuan ramai dan menambat hati peminat drama tempatan. Dan lebih mengagumkan mereka yang sebelum ini bukan peminat drama turut tertarik mengikuti perkembangan cinta EL dan Kyra hasil adegan yang lucu dan serius yang menjadi.


Watak Ezwan Lutfi atau El yang dilakonkan oleh Ungku Ismail benar-benar menghidupkan nadi drama tersebut malah gandingan bersama Siti Elizad sebagai Kyra Lydia adalah satu pertaruhan yang berbaloi dan dalam masa yang sama mengangkat dua nama pelakon ini.

Selain itu, dalam temubual bersama majalah EH!, Siti Elizad sempat memberi hint bagaimana episod akhir Teman Lelaki Upahan ini akan menutup tirai.

“Apa yang saya boleh kongsikan adalah akan ada konflik di pertengahan sebelum episod akhir. Saksikan siapakah yang akan EL pilih untuk kebahagiaannya,” jelasnya sambil mengakui pada mulanya dia menolak untuk melakonkan watak Kyra namun akhirnya berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pengarah.

Drama yang diadaptasi dari novel karya Azura Rasiddin dan diarahkan oleh Azma Aizal Yusof dan Idora Abdul Rahman ini turut dilakonkan oleh Fikhree Bakar, Izara Aishah, Wan Raja, Sharifah Aleysha, Dian P. Ramlee, Zarynn Min, Adik Alleeya, Shah Iskandar dan ramai lagi. (rtky/syfq)