Selepas sekian lama berteka teki, kakak kepada selebriti popular Neelofa iaitu Noor Nabila berkongsikan bahawa dia dan suaminya, Engku Emran bakal bercerai dalam masa terdekat.
Memetik Harian Metro, perkara itu disahkan oleh Nabila sendiri yang memberitahu keputusan itu dibuat selepas suaminya menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan perkahwinan mereka yang dibina pada 2021.
BACA: Status Noor Nabila Cetus Tanda Tanya
“Kami dalam proses perceraian dan akan diputuskan dalam masa terdekat. Emran pun sudah menyatakan keinginan dia untuk bercerai selepas dia keluar dari rumah saya sejak awal Januari lalu.
“Alhamdulillah ketika dia beritahu hasratnya untuk bercerai, kami berbincang secara baik dan tenang serta menerima segala keputusan yang ditentukan dengan reda dan hati terbuka.
“Jodoh ajal maut adalah aturan Allah SWT, tiada siapa yang nak berkahwin untuk bercerai dan saya juga impikan perkahwinan yang bahagia dan berpanjangan,” katanya.
Sementara itu, Nabila enggan berkongsikan masalah rumah tangga mereka kepada umum dan hanya diketahui oleh mereka sahaja. Ujarnya lagi, dia sudah melakukan yang terbaik dalam rumah tangganya itu.
“Saya sudah buat yang terbaik sepanjang proses perkahwinan ini. Namun sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada ujian dan dugaan rumah tangga.
“Sepatutnya kita pasangan suami isteri saling berkorban dan sentiasa ada untuk satu sama lain dalam apa jua keadaan. Malangnya kami tak mampu jadi pasangan seperti itu.
“Masalah antara kami sudah lama berpanjangan dan saya berserah dengan takdir dan yakin ini adalah aturan terbaik dari Nya untuk saya dan anak lalui,” katanya.