fbpx

Enggan Muncul Di Kaca TV, Diana Amir Ucap Selamat Tinggal Dunia Seni

Hampir 10 tahun berhijab, pelakon dan pengacara Diana Amir dilihat sudah mula memakai niqab sejak awal tahun ini mendapat reaksi positif daripada netizen.

Memetik BH Online, Diana berkata teguran orang sekeliling mengenai penampilannya yang tidak menutup aurat sebelum ini membuatkan hatinya terdetik untuk berubah ke arah lebih baik.

BACA: Peminat Teruja Tengok Diana Amir Meluncur Ais Pakai Jubah, Niqab

“Mak mentua tunjuk gambar saya yang tak berhijab. Dia kata semua ini dosa, tetapi masa itu hati saya keras. Saya rasa tak apa-apalah, yang penting saya baik dan tak kacau orang. Apabila orang sekeliling tegur pemakaian saya, jadi masa itu saya mula tersentuh.

“Namun itulah sebabnya, akhirnya selepas tahun 2011, waktu saya nak berhijab, itulah satu benda yang tak dapat dibayangkan sebab saya pernah berfikir begitu dulu,” katanya.

Menerusi temu bual bersama Neelofa baru-baru ini, kata Diana lagi dia sedar bahawa kematian sangat hampir dan ketika itu dia nekad untuk terus perbaiki diri.

“Agaknya sebelum ini saya fikir hidup lama lagi. Saya fikir kematian itu lama lagi. Saya muda lagi. Yang penting saya buat baik. Namun sebenarnya mati itu yang paling dekat dengan kita.

“Bila saya faham hakikat yang kita ini akan mati juga satu hari nanti dan betapa sayangnya Rasulullah SAW pada kita semua, sebab itulah hati saya yang rasa amat memberontak dahulu boleh berubah sekelip mata. Saya terus rasa nak pakai tudung, tak nak buka lagi. Saya terus nak baiki diri,” katanya.

Dalam pada itu, Diana berkata dia tekad untuk tidak lagi muncul di kaca televisyen selepas ini kerana mahu fokus pada dirinya serta mahu mencari agama.

“Saya nak berhenti daripada muncul di khalayak ramai. Saya nak fokus pada diri saya, nak fokus pada betul-betul ikhlaskan diri saya mencari agama kerana Allah.

“Saya buat keputusan, saya cakap pada suami saya yang selepas ini saya dah tak mahu muncul di mana-mana tapi ada beberapa lagi tawaran yang saya sudah terima awal, jadi saya terpaksa buat tapi selepas ini tidak lagi. Maksudnya, saya mahu berada dalam kalangan muslimat sahaja,” katanya.