fbpx

Enggan Dilabel Hipokrit, Ernisha Mengaku Tidak Lagi Berhijab

Pasti ramai yang masih ingat lagi dengan kontroversi terpalit bekas finalis Dewi Remaja, Ernisha yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak membuka tudung dan berpakaian seksi di kelab malam awal Januari lalu.

Susulan kontroversi itu, Ernisha akui dia memang on off berhijab malah imannya goyang. Namun dia mahu munasabah diri dan memohon agar orang ramai mendoakan agar dia terus kekal bertudung.

BACA: “Saya Akui Memang On Off Berhijab, Iman Goyang”

Terbaru, Ernisha atau nama sebenarnya Erni Nurshahira Khairul Zaman mengakui dia kini sudah tidak lagi berhijab. Ernisha berkata keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu dilabel sebagai wanita munafik.

“Saya mengaku sudah tidak lagi berhijab kerana bukan mudah untuk membawa imej wanita muslimah. Saya akui sebelum ini saya memang ‘on and off’ berhijab hingga ramai mempersoalkan penampilan diri yang sebenar.

“Saya memang nak bertudung tapi sebagai manusia adakalanya iman kita ada turun dan naik. Ia bukan satu perkara yang mudah.

“Saya enggan dilabel sebagai wanita munafik atau hipokrit membuatkan mengambil keputusan untuk tidak lagi berhijab. Kecaman yang diterima membuatkan saya rasa diri ini sangat jahat dan seolah-olah sedang mempermainkan agama,” katanya kepada Harian Metro.

Mengakui keluarganya tidak boleh menerima, namun Ernisha meluahkan rasa syukur keluarganya memahami selepas dia berterus-terang mengenai keputusannya itu. Malah, keluarganya sentiasa mendoakan agar dirinya diberikan kekuatan untuk berhijab semula suatu hati nanti.

“Sudah tentu keluarga tidak boleh terima dengan keputusan ini tapi saya cuba terangkan dengan sebaik mungkin dan memberitahu perkara sebenar.

“Syukur keluarga memahami dan sentiasa mendoakan supaya saya punya kekuatan satu hari nanti untuk berhijab sepenuhnya.

“Dulu pun ketika menyertai Dewi Remaja, ibu yang meminta saya berhijab kerana bakal mengintai peluang dalam bidang seni meskipun hati belum bersedia ketika itu. Saya sudah cuba tapi hidayah itu belum tiba,” katanya.