fbpx

Empat Tahun Menduda, Cat Farish Selamat Bernikah Lagi

Selepas empat tahun bergelar duda, anggota kumpulan Ruffedge iaitu Cat Farish selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangan pilihannya, seorang pereka fesyen, Suriani Hassan, 34 tahun pada jam 10 pagi tadi.

Cat atau nama sebenarnya Farrish Zaquan meluahkan rasa syukur majlis yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Senawang, Negeri Sembilan itu dipermudahkan dan berjalan lancar.

BACA: Cat Farish Menangis Selepas Bercerai, Hati Rasa Kosong

“Sepanjang proses tiada masalah dan kami ada meminta nasihat daripada pihak berkuasa sebelum melangsungkan majlis. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Ada kebaikan dan kesedihannya, misalnya malam berinai tak ramai yang boleh datang, majlis nikah pun kami empat beranak saja tapi kebaikannya saya terus mendapat sijil dan kad nikah,” katanya.

Dalam pada itu, Cat berkata dia dan isteri akan mengadakan kenduri dan majlis resepsi dalam tempoh enam bulan lagi dan merancang untuk mengadakan majlis sarung cincin terlebih dahulu pada Disember depan.

“Insya-Allah selepas ini akan ada kenduri lagi dan resepsi sama ada lagi enam bulan atau setahun memandangkan urusan tempahan dewan tidak boleh dibatalkan.

“Jadi, kami memutuskan untuk pilih tarikh lain… Kalau tiada aral kami merancang untuk majlis sarung cincing pada akhir bulan Disember nanti,” katanya kepada Gempak.

Berkongsi cerita mengenai perkenalan mereka, Cat berkata mereka berkawan sejak empat tahun lalu dan mula ke arah lebih serius pada Julai lalu.

“Kami belum bercinta lagi, selama ini hanya berkawan dan saya tergerak hati untuk mengajaknya berkahwin. Jadi, bercinta itu selepas berkahwinlah.

“Ada banyak kelebihan yang saya nampak pada Suriani, dia membuatkan saya rasa selesa, dia seorang penyabar dan menjaga kedua-dua orang tuanya dengan baik. Jadi, saya yakin dia juga boleh menjaga saya sebaik itu,” katanya.

Cat pernah mendirikan rumah tangga bersama Hartiny Ramli namun berpisah pada 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nia Karlyssa, 14, Eva Latheefa, 11 dan Qul Iskandar, 10.