fbpx

Empat Kali Bersalin ‘Czer’, Adira Ikat Peranakan

Penyanyi Adira Suhaimi dekat melakukan prosedur mengikat peranakan bagi mengelakkan untuk kembali hamil selepas dikurniakan empat cahaya mata.

Memetik Kosmo, Adira berkata dia berbuat demikian atas nasihat doktor memandangkan sudah empat kali dia bersalin secara pembedahan caesarean.

BACA: Adira Kongsi Wajah Anak Keempat, Pilih Nama Ayub

“Cukuplah empat orang anak. Sudah empat kali saya bersalin secara pembedahan czer. Kalau saya hamil lagi, mungkin akan ada risiko kesihatan. Atas sebab tertentu dan nasihat doktor, saya bersetuju untuk ikat peranakan. Suami pun tiada halangan,” katanya.

Menurut Adira lagi, kehidupannya kini sudah lengkap selepas dikurniakan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

“Cukuplah dua lelaki dan dua perempuan. Selepas ini saya boleh fokus dengan empat orang anak. Alhamdulillah saya rasa kehidupan saya kini sudah pun lengkap. Saya sangat bersyukur dengan kurniaan ini termasuk soal kerjaya juga,” katanya.

Berkongsi mengenai membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak, Adira berkata dia tidak berdepan dengan masalah kerana mempunyai pembantu rumah untuk membantunya.

“Anak-anak masih kecil. Saya kena ada pembantu untuk menolong saya. Tapi anak-anak tetap nombor satu.

“Soal kerja, saya bukan memilih, tapi kalau memerlukan saya bergerak terlalu jauh, saya akan fikir juga. Paling tidak saya akan bawa anak bersama-sama. Kalau kena ‘terbang’ pun saya akan minta balik hari,” katanya.

Adira bernikah dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 5, Asan, 4, Anggun, 3 dan Ayub, dua bulan.