fbpx

“Emak Tak Redha Dengan Apa Shila Buat, Berhenti Menipu!!”

Selepas beberapa hari berdiam diri susulan kemelut anak-anaknya, ibu kepada Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman akhirnya tampil bersuara mengenai isu tersebut.

Menerusi perkongsian di Instagram, Fauziah meluahkan rasa kecewa terhadap sikap penyanyi itu yang didakwa tergamak melemparkan kata-kata kesat terhadapnya kerana rumah pusaka yang didiami mereka sekeluarga. Bagaimanapun, perkongsian itu dipadam selepas beberapa minit ia dimuat naik.

BACA: Fauziah Sarman Dedah ND Lala Bertahun Tak Kerja, Shila Amzah Tanggung Keluarga

“Disebabkan rumah pusaka ini juga tergamak Shila mengeluarkan kata-kata kesat pada mak, tak tergamak mak nak tulis kata-kata itu. Allahuakbar. Ya benar memang Shila tak halau Mak tapi kata-kata Shila Mak faham,” tulisnya.

Fauziah turut mendedahkan Shila pernah berjanji untuk menjaganya serta membiarkan dia terus tinggal di rumah tersebut yang dianggap harta pusaka selepas berlaku kontroversi rumah tangganya.

“Dengan segala konflik keluarga yang kita hadapi, emak tidak pernah bantah andainya ‘rumah keluarga’ yang dilabel sendiri oleh Nurshahila sebagai ‘rumah pusaka’ untuk dijual kerana emak sedar diri rumah itu atas nama anak emak yang popular.

“Tak perlu mengingatkan emak berkali-kali tentang itu kerana terserah untuk Nurshahila buat apa sahaja kerana ya rumah ini atas nama Nurshahila.

“Walau tahun lepas ketika abah lari Nurshahila pernah cakap mujur rumah ini atas nama Shila, biarlah kekal jadi rumah pusaka mak tinggalkan sampai bila-bila jangan kisah Abah tak ada, orang boleh sara mak. Ini janji Shila pada mak,” tulisnya.

Dalam pada itu, Fauziah turut kecewa dengan sikap Shila yang membiarkan orang luar menghinanya serta meminta anaknya berhenti menipu.

“Hati emak memang sudah dikisar halus. Emak bersuara demi maruah emak. Banyak Rahsia yang emak simpan sorok selama ini demi namamu sebagai bintang popular.

“Terima kasih Nurshahila kerana beri ruang untuk orang hina dan keji emak sendiri dalam video live. Allah tahu apa kebenarannya. Buat masa ini emak belum dapat maafkan dan emak tak reda dengan apa yang Shila buat. Berhenti menipu!

“Ya Allah… Ampunkanlah segala dosa-dosaku… Hanya Engkau yang Maha tahu. Ku serahkan segalanya kepadaMu kerana sesungguhnya aku milikMu.

“Nurshahila, kau tanggunglah dosa… Pada Allah Mak serahkan dirimu dan semoga Allah SWT mengadili segalanya serta memberimu pertunjuk,” tulisnya.