fbpx

Meskipun sudah lebih setahun berkahwin, pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan berkata dia masih belum tinggal sebumbung dengan suaminya, Dr Siew Jim.

Memetik Harian Metro, Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy berkata mereka hanya bertemu ketika waktu cuti dan kini masih tinggal bersama ibu masing-masing.

BACA: Elizabeth Tan Mahu Hamil, Suami Belum Bersedia

“Dia datang bertemu saya sekali atau dua kali seminggu. Kami anggap hubungan kami seperti sedang melayari fasa percintaan dan tak sangka ia lebih menarik sebab ada ruang untuk kami saling merindui satu sama lain.

“Pada mulanya saya tak okey dengan keputusan ini sebab kalau kahwin mestilah kena tinggal sebumbung, tapi kami tak nak biarkan emak kami tinggal seorang diri di rumah.

“Lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan lebih menyukai cara ini apabila kami dapat menjaga ibu masing-masing memandangkan ibu saya dan ibu mentua tidak mahu tinggal bersama,” katanya.

Kata Lizzy lagi, dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata pertama dan mereka akan pertimbangkan untuk tinggal bersama jika ada anak kelak.

“Kalau sudah ada anak baru kami akan mempertimbangkannya. Takkanlah saya nak jaga anak seorang diri. Sebenarnya, saya mengambil ubat perancang kehamilan selama dua tahun. Saya mengambilnya selepas selesai penggambaran filem Abang Long Fadil 3.

“Namun, saya cuba nak hamil, sekitar hujung tahun ini. Jika diikutkan, saya sudah merancang kehamilan, Julai lalu tetapi banyak pula ‘job’ (tawaran pekerjaan) masuk.

“Jadi terpaksalah dianjak ke bulan seterusnya. Namun, disebabkan jadual kerja semakin padat, rancangan cuba mendapatkan cahaya mata dianjak sekali lagi sehingga Oktober,” katanya.

Terdahulu, Lizzy berkahwin dengan lelaki pilihannya, Siew Jim pada 20 Mac tahun lalu dalam majlis sederhana yang dihadiri 10 orang ahli keluarga kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.