Hampir setahun lebih mendirikan rumah tangga, pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan berkata dia dan suami, Dr Siew Jim Ding, sudah bersedia menimang cahaya mata pertama.
Memetik BH Online, Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy berkata dia merancang untuk hamil bulan lalu namun terpaksa dianjak hingga Oktober depan disebabkan kesibukan kerja.
BACA: Elizabeth Tan Menangis Berjam-Jam Sebelum Panjat Gunung Kinabalu
“Sebenarnya, saya mengambil ubat perancang kehamilan selama dua tahun. Saya mengambilnya selepas selesai penggambaran filem Abang Long Fadil 3.
“Namun, saya cuba nak hamil, sekitar hujung tahun ini. Jika diikutkan, saya sudah merancang kehamilan, Julai lalu tetapi banyak pula ‘job’ masuk.
“Jadi, terpaksalah dianjak ke bulan seterusnya. Tetapi, disebabkan jadual kerja semakin padat, rancangan cuba mendapatkan cahaya mata dianjak sekali lagi sehingga Oktober,” katanya.
Lizzy berkata lagi sukar untuk putuskan sama ada mahu menimang cahaya mata atau tidak memandangkan suaminya belum bersedia disebabkan sibuk dengan kerja.
“Saya tahu perlu mengorbankan sebahagian besar kerjaya jika ingin bergelar ibu. Selepas jadi ibu, watak diberikan mungkin berbeza atau semakin berkurangan. Jadi, saya mengambil masa setahun untuk melakukan persediaan mental.
“Tambah pula, saya menginjak usia 30 tahun pada tahun depan. Doktor sudah menasihatkan saya hamil sebelum usia 35 tahun bagi mengelakkan bayi mengalami komplikasi seperti autisme. Jadi, saya mahu cuba hamil, penghujung tahun ini,” katanya.