Sudah lama rasanya tak dengar cerita mengenai pelakon Ieda Moin. Terbaru, Ieda mendedahkan dia telah membuat keputusan untuk berhijab penuh sejak 4 Mei lalu. Akui sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung, Ieda bersyukur akhirnya mampu melakukannya.

Menurut Ieda, pemergian rakan baiknya Maya Matahari beberapa bulan lalu ekoran menghidap kanser sarcoma tahap empat turut membuka matanya untuk menutup aurat dan berpakaian mengikut syariat.


“Sudah lama saya menyimpan hasrat bertudung. Jika diikutkan, tahun lalu, saya mahu berhijab, namun tuntutan kerja dan komitmen diperbaharui membuatkan niat itu tertunda.

“Namun, tarikh 18 Mac lalu menggerakkan hati saya. Banyak insiden terjadi seperti penularan COVID-19 dan pemergian arwah Maya yang membuatkan saya tersentak,” katanya kepada BH Online.

Ieda juga mengakui sebelum membuat keputusan untuk berhijab, dia sering diganggu emosi dan tidak selesa ketika memilih persalinan untuk keluar rumah.

“Serba-serbi tak selesa ketika memandang cermin. Orang tua saya pernah rasa pelik ketika saya berkunjung ke rumah mereka untuk berbuka puasa, Ramadan lalu.

“Saya tutup kepala dengan kain dengan alasan tidak mahu mandi dan membasahkan rambut. Namun, ketika meraikan hari jadi saya dan anak, Mei lalu, saya terus nekad untuk bertudung,” katanya.

Dalam pada itu, Ieda berkata dia sedikitpun tidak risau mengenai rezeki dalam industri seni selepas membuat keputusan untuk berhijab kerana pihak produksi percaya dengan bakat lakonannya.

Tambah Ieda, berkat doa ibu dan teman baiknya, Noorkhiriah merupakan pendorong utama dirinya tampil mengenakan hijab dan perlahan-lahan mahu kekal istiqamah.

“Saya nekad bertudung kerana sayangkan suami dan orang tua. Saya tak mahu mereka tanggung dosa diri ini jika tidak menutup aurat,” katanya.