Pelakon Edika Yusof berkongsikan berita gembira bahawa dia dan bekas isterinya, Nor Hidayah sudah kembali rujuk namun masih menunggu proses seterusnya mengikut undang-undang.
Memetik mStar Online, Edika berkata dia dan Hidayah berbincang secara baik untuk mencari jalan sementara masih dalam idah, bagaimanapun mereka masih belum tinggal bersama.
BACA: Edika Yusof Sambut Hari Bapa Dengan Bekas Isteri
“Kami masih dalam proses tapi peratus untuk berbaik itu ada, InsyaAllah. Kami pun dah muhasabah diri dan berbincang secara baik untuk teruskan jodoh ini. Kami sedang tunggu surat (mahkamah) tapi masih belum tinggal bersama,” katanya.
Menurut Edika dia tidak pernah putus asa untuk berbaik dengan bekas isterinya dan keputusan untuk kembali bersama dibuat secara bersama.
“Dia pun berusaha untuk memberi ruang. Bila bertemu, kami bincang kesilapan masing-masing. Malah bila keluar rumah pun tiada pertengkaran atau pergaduhan,” katanya.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004, namun bercerai pada 5 Mei lalu. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Fardeen Nasrulhaq dan Fareena Nurulhaq.
Sumber: mStar Online