Bapa kepada penyanyi dikir barat Eda Ezrin iaitu Wan Ismail Wan Yusuf berkata anaknya sering bertanyakan kepada mereka bilakah dia akan dibebaskan selepas lebih tujuh bulan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Memetik Harian Metro, Wan Ismail berkata dia sudah menjangkakan penahanan anaknya itu akan dilanjutkan dan Eda sering merintih bilakah dia akan dibebaskan serta badannya juga kini semakin susut.
BACA: Eda Ezrin Reda Sambut Raya Di Penjara
Sementara itu, Wan Ismail berkata besar harapan mereka sekeluarga mahu sambut Aidiladha bersama namun dia reda kerana undang-undang di negaea itu tidak sama dengan Malaysia.
“Eda Ezrin sering merintih dan bertanyakan kepada kami bila dia akan dibebaskan, badannya juga kini semakin kurus selepas lebih tujuh bulan berada di Penjara Wilayah Narathiwat.
“Sedih, terkilan, reda… Macam-macam dalam fikiran saya bila mengetahui penahanan Eda Ezrin sekali lagi dilanjutkan sehingga bulan depan.
“Selepas bulan depan, kami juga tidak tahu apa nasib Eda Ezrin kerana dimaklumkan kes itu boleh dirujuk ke Mahkamah Agung pula.
“Saya sendiri keliru sedangkan keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu mendapati anak saya serta yang lain tidak bersalah.
“Walaupun sedih, saya terpaksa reda dan akur dengan segala keputusan memandangkan undang-undang di negara sana (Thailand), tidak sama dengan negara kita,” katanya.
Tambah Wan Ismail lagi, Eda tertanya-tanya mengenai nasibnya dan dia tidak sanggup untuk bertemu dengan anaknya itu kerana terlalu sedih dan hanya bekas isterinya yang berjumpa Eda setiap minggu.
“Saya sendiri tidak sanggup untuk bertemu anak saya di penjara kerana terlalu sedih memikirkan apa yang berlaku. Disebabkan itu hanya bekas isteri yang berjumpa setiap minggu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada saya,” katanya.
Semalam, media melaporkan penahanan Eda Ezrin, suami dan empat rakan dilanjut sehingga 6 Julai depan.
SUMBER: Harian Metro