fbpx

Ebby Yus Dedah Peminat Wanita Masukkan RM30,491.93 Dalam Akaunnya

Pelakon dan pelawak, Ebby Yus mendedahkan dia pernah menerima bantuan daripada peminatnya yang merupakan seorang wanita dari Singapura ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Menurut Ebby, wanita itu memberinya wang tunai sebanyak RM30,491.93. Ebby berkata pada awalnya dia tidak sedia menerima wang berkenaan dan menghubungi wanita berkenaan untuk menolak secara baik.

BACA: “Salah Ke Orang Muda Dan Cantik Jadi Jodoh Saya?”

“Pada awalnya, dia menghubungi pembantu saya dan menyuarakan hasrat untuk memberi sumbangan itu kerana tahu mengenai keadaan kesihatan yang saya alami.

“Ketika itu, kita semua tak dapat bekerja kerana PKP. Jadi, apabila dimaklumkan oleh pembantu, saya sendiri menghubunginya dan menjelaskan bahawa keadaan kesihatan saya sudah kembali pulih.

“Saya katakan pada dia, mohon sumbangkan doa pun sudah mencukupi. Namun, dia mendesak untuk tetap memberikan sumbangan kerana seluruh keluarganya meminati saya,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya lagi, dia akui curiga dengan tindakan wanita itu memandangkan sekarang banyak kes ‘scam’. Namun, selepas menyemak akaun bank memang benar wanita berkenaan memasukkan wang.

“Saya rasa sangsi juga kerana takut jika itu adalah ‘scammer’ kerana dia meminta nombor akaun bank. Tapi, bila difikirkan semula, dalam akaun saya pun cuma ada dalam RM40 saja, jadi tak rugi pun kalau saya bagi.

“Tak lama selepas itu, sejumlah wang bernilai SGD10,000 (RM30,491.93) masuk ke dalam akaun saya. Saya macam susah nak percaya, tapi bila diperiksa berkali-kali, memang benar,” katanya.

Dalam pada itu, Ebby menyifatkan individu itu umpama kiriman daripada Allah untuk membantunya. Katanya lagi, sejak hari itu dia dan wanita berkenaan sering berkomunikasi melalui telefon.

“Allah menghantar individu ini, yang bagi saya sangat berhati mulia dan ikhlas. Kalau bukan kerana situasi pandemik sekarang, saya dah ke Singapura untuk bertemu dengannya sekeluarga,” katanya.