fbpx

Sudah hampir 15 tahun bergelar anak seni, pelakon Rita Rudaini memaklumkan mahu bersara daripada dunia hiburan sebelum usianya mencecah 50 tahun.

Hanya tinggal tempoh empat tahun lagi, Rita berkata dia mahu menghentikan karier lakonan kerana mahu menghantar kedua anaknya Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna mengikuti pengajian ke sekolah tahfiz.

BACA: Rita Rudaini Nak Berhenti Berlakon Sebelum Usia 50 Tahun

“Ikutkan saya punya perancangan dalam tiga atau empat tahun lagi sebelum umur masuk ke angka 50 tahun, saya nak berhenti jadi pelakon.

“Saya secara perlahan dalam usaha mendalami agama dan merancang menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz, doakan semoga semuanya dipermudahkan,” kongsinya.

Berkongsikan pengalaman lalu, Rita tidak malu mendedahkan dia juga pernah melalui zaman gelap dimana ketika itu dia tidak menjaga solat dengan sempurna.

Kata Rita lagi, meskipun dia ditimpa ujian namun Allah tetap bersamanya dan bermula dari saat itu dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Esa.

“Allah bagi kita ujian kerana ada sebab. Jujur saya katakan, saya kini mula menjaga solat. Dahulu tidak kerana saya terlampau mencintai manusia. Saya sudah kahwin, ada suami, ada anak tetapi tak bersyukur.

“Apabila ditimpa ujian barulah saya beringat. Allah tak tinggal saya, itu yang buat saya semakin kuat sebab tahu Allah sayang saya. Dari situ saya semakin menjaga hubungan dengan Allah.

“Mungkin Allah nampak kelemahan saya sampai ditarik satu demi satu orang yang saya sayang supaya saya kembali kepada-Nya,” katanya.