fbpx

Dulu Tak Terfikir Nak Ada Anak, Sekarang Jehan Miskin Tak Sabar Jadi Bapa

Bakal menimang anak sulung tidak lama lagi, pelakon Jehan Miskin tidak sebar untuk menantikan kelahiran cahaya mata pertamanya dan bergelar bapa selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut Jehan, dia dan isteri tidak terfikir untuk menimang cahaya mata sebelum ini sehinggalah isterinya, Julie Camelia Rhee Abdullah menyatakan hasrat untuk menjadi ibu.

BACA: Tujuh Tahun Menanti, Jehan Miskin & Isteri Bakal Timang Anak Pertama

“Sebenarnya masa mula-mula kahwin, kami tidak fikir sangat soal cahaya mata kerana kami bahagia berdua. Namun, memikirkan kami sudah lama bersama, kami terbuka hati dengan idea (anak) itu beberapa tahun kebelakangan ini, lebih-lebih selepas bapa saya meninggal dunia.

“Tiba-tiba isteri menyatakan keterujaan betapa gembiranya dia jika memiliki seorang anak tahun lalu. Alhamdulillah, dia terus hamil pada minggu yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Jehan akui terkejut dan meluahkan rasa syukur  hasrat mereka dikurniakan rezeki cahaya mata dengan cepat apatah lagi dia kini sudah berusia 41 tahun.

“Kami sebenarnya jangka usaha itu akan mengambil masa beberapa tahun. Namun, saya sangat bersyukur ia terus terjadi kerana saya pun sudah berusia 41 tahun.

“Lagipun, kami memang sudah bersedia untuk ada anak. Ia ibarat bonus kejutan di waktu pandemik ini memandangkan kita tidak dapat melancong ke luar negara,” katanya.

Terdahulu, Jehan berkongsikan berita gembira mengesahkan isterinya hamil anak pertama pada September lalu. Jehan mendirikan rumah tangga dengan wanita warga Korea Selatan itu pada 2013.