fbpx

“Dulu Saya Tak Bersyukur, Tak Puas Dengan Apa Yang Dimiliki”

Mengakui kekhilafan dirinya dahulu, penyanyi kontroversi Aliff Aziz berkata sebelum ini dia selalu tidak rasa puas dengan nikmat diberikan oleh Allah kepadanya.

Aliff berkata dia akhirnya buka mata dan sedar bahawa Allah takkan pernah berhenti memberi kepada umatnya yang sentiasa berdoa dan tahu bersyukur.

BACA: Aktif Tabligh Tak Halang Aliff Aziz Sertai Gegar Vaganza

“Sekarang, saya banyak belajar erti mensyukuri apa saja nikmat diberikan Allah itu walaupun saya sendiri merasakan memang tidak layak memperolehnya di atas apa yang pernah dilakukan dahulu.

“Maha baik Allah SWT kepada saya amat tidak disangka. Pelbagai rezeki masih diberiNya kepada saya sekarang yang harus disyukuri. Sifat Allah yang penyayang ini membuat saya malu kerana berasa tidak layak menerimanya.

“Kalau saya kenangkan betul-betul, banyak nikmat kasih sayang Allah berikan kepada saya antaranya rezeki ibu bapa memperoleh kesihatan yang baik, begitu juga dengan anak-anak dan dikurniakan seorang isteri yang penyayang. Jadi, saya harus sangat bersyukur di atas semua ini,” katanya.

Aliff berkata dia meluahkan rasa syukur perubahannya ini turut dibantu oleh keluarga serta rakan-rakan yang baik di sekelilingnya serta memohon didoakan agar kekal istiqamah.

“Saya mohon doakan saya terus istiqamah kerana perkara ini (istiqamah) adalah paling mahal dan susah untuk diperoleh oleh seseorang. Tapi, insya-Allah pengorbanan mendekati agama dan Allah akan membantu saya.

“Jadi, kita belajar-belajarlah dan saya pun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan belajar lagi. Cuma, sekarang saya belajar menjaga lingkungan iaitu kawan-kawan di sekeliling,” katanya.