Selepas pulang dari mengerjakan umrah bersama suami pada Mei lalu, penyanyi Siti Sarah kini tampil manis berhijab. Walaupun sudah lama berniat untuk berhijab, Sarah memohon agar dirinya diberi hidayah untuk terus kekal bertudung.
Menurut penyanyi bersuara lantang ini lagi, selepas pulang dari umrah dia tidak mahu menunjukkan rambut dan lebih selesa berhijab. Namun mengakui agak janggal untuk berhadapan dengan semua orang dan seperti tiada kekuatan.
BACA: Siti Sarah Mohon Diberi Hidayah Untuk Terus Bertudung
“Sebenarnya Sarah masih orang yang sama lepas balik umrah tempohari. Cuma ketika itu Sarah rasa tak nak tunjuk rambut dan lebih selesa behijab. Pernah satu masa Sara memang rasa janggal untuk berhadapan dengan orang ramai masa awal-awal berhijab.
“Hampir beberapa minggu jugalah Sarah bermain dengan perasaan yang macam-macam. Bukan kerana hijab yang dipakai, tetapi ketika itu seperti tiada kekuatan untuk berhadapan dengan orang ramai,” katanya kepada Hijabista.
Kata Sarah lagi, tiada keperluan untuknya memadam gambar-gambarnya di Instagram ketika tidak berhijab kerana itu adalah kisah sejarah hidupnya yang lama.
“Biarkan saja gambar-gambar itu kerana kalau padam pun orang masih boleh cari diri kita yang dulu. Lagipun itu sejarah Sarah. Dulu Sarah rasa diri ini tidak layak berhijab. Sembahyang pun qada-qada. Takut nanti dilabel macam-macam. Tapi sekarang Sarah selesa dengan penampilan Sarah,” ujarnya lagi.