fbpx

“Dulu Orang Kata Buruk Sebab Gemuk, Dah Kurus Pun Dihina…”

Meskipun berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 30 kilogram, namun pelawak Man Raja Lawak tetap berdepan tohmahan netizen mengenai rupanya yang kelihatan menggeleber.

Menurut Man, sebelum ini dia dihina kerana berbadan gempal namun dia tidak menyangka apabila berat badannya turun turut menerima kejian. Ujarnya, dia menyedari rupa parasnya hanya biasa-biasa sahaja, namun bangga apabila berjaya kurus.

BACA: Daripada Saiz 38, Man Raja Lawak Dah Muat Seluar Saiz 31

“Saya sedar diri memang bukan dilahirkan kacak macam hero Hollywood atau Bollywood. Apatah lagi seperti bintang popular di negara kita. Wajah saya memang tahap biasa saja. Orang kampunglah katakan.

“Ada yang cakap muka saya bertambah buruk dan ‘haggard’ apabila berjaya menurunkan berat badan. Saya tak boleh ubah kejadian Tuhan. Saya terima diri seadanya. Tapi saya bangga akhirnya berjaya kurus.

“Tapi soal fizikal itu sangat subjektif. Buruk di mata orang itu, tak semestinya buruk di mata lain,” katanya.

Timbul dakwaan mengatakan pelawak itu bertemu doktor untuk menjalani prosedur pembedahan bariatrik atau potong usus, Man menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah. Enggan peduli dengan apa yang diperkatakan netizen, Man menganggap mungkin mereka cemburu dengan dirinya.

“Kalau ada yang cakap saya jumpa doktor untuk potong usus atau pembedahan apa apa sekalipun, percayalah saya nak keluar rumah pun tak boleh sebab Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dikuatkuasakan.

“Tak baik fitnah cakap saya jumpa doktor. Memang taklah, melainkan doktor tu jiran sebelah rumah dan boleh buat pembedahan kat rumah dia je.

“Tapi tu lah, kalau asyik fikir cakap orang, sampai ke sudah kita akan terus berada di takuk lama. Jadi saya ambil pendekatan tak ambil peduli. Memujuk hati, saya anggap mereka dengki dan cemburu dengan apa saya berjaya lakukan,” katanya.