fbpx

“Dulu Hari-Hari Orang Kecam, Dengan Kuasa Allah Sekarang Dah Kurang”

Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA akui lega apabila kecaman terhadapnya kini semakin berkurangan berbanding dahulu. Ujarnya, perkara itu berlaku selepas kontroversinya menyelar dan mengutuk sebuah hospital.

Azwan berkata disebabkan kontroversi itu dia perlu membayar denda berjumlah RM17,000. Namun, katanya sejak itu menjalani kehidupan yang tenang kerana apabila bangun pagi, tiada lagi makian daripada netizen.

BACA: Azwan Ali Tak Mahu Berubah, Tak Akan Berhenti Mencarut

“Gara-gara seorang artis, saya diperintahkan mahkamah supaya membayar denda. Jika tidak saya akan dipenjara. Sejak itu peratus kecaman semakin berkurangan.

“Dulu sebaik bangun pagi, saya lihat 50 orang maki hamun di laman sosial. Takkan saya nak diam dan makilah semula. Namun, sekarang sudah berkurangan dengan kuasa Allah. Sekarang nak ada tiga orang yang maki pun susah.

“Sebelum ini ada yang kata saya tak ada ‘job’, padan muka! Mereka boleh hina saya macam-macam, tapi dengan kuasa Allah lihatlah sekarang rezeki saya,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Azwan mengakui dia kini lebih berhati-hati apabila menyentuh berkenaan kecamannya terhadap seseorang individu terutama membabitkan rupa fizikal kerana ia merupakan perbuatan jenayah.

“Saya tak pernah nak sentuh soal ‘body shaming’ kecuali individu itu kerana dia yang pijak saya dulu. Tapi melihatkan perkembangan terbaru, ‘body shaming’ adalah satu jenayah membuatkan saya jadi semakin berhati-hati.

Aktif menjalankan perniagaan Minyak Angin Diva AA, Azwan kini menukar panggilan Melayu Mulia Syurga kepada pengikutnya. Malah katanya dia kini menjaga akaun Instagram untuk mempromosikan produknya sahaja.

“Ya, saya lebih suka bercakap mengenai perniagaan. Terdapat jutaan Melayu Mulia Syurga yang sokong perniagaan saya. Kalau tengok Instagram saya pun sudah tiada isu politik sebab saya memang jaga Instagram untuk produk saya saja.

“Namun, itu tidak akan menjejaskan reputasi saya untuk kekal sebagai Diva AA untuk sembur sesiapa saja bagi membetulkan keadaan,” katanya.