fbpx

Dulu Hadiahkan Duit Pendahuluan, David Teo Sedia Beli Rumah Farid Kamil

Penerbit dan Pengarah David Toe berkata dia terkilan jika berita lelongan rumah milik Farid Kamil adalah benar kerana dia individu bertanggungjawab menghadiahkan rumah tersebut kepada aktor berkenaan.

Memetik BH Online, David berkata dia baru tahu mengenai berita lelongan tersebut selepas dihubungi pihak media dan sedia membeli rumah berkenaan jika Farid ada masalah.

BACA: Kenalan Tak Bayar Sewa, Rumah Farid Kamil Bakal Dilelong

“Kalau Farid ada masalah, sepatutnya dia beritahu saya. Mungkin saya boleh beli rumah ini daripadanya.

“Rugilah rumah ini terpaksa dilelong kerana nilainya sudah dua kali ganda berbanding ketika dibeli kira-kira 10 tahun lalu.

“Saya sanggup beli daripada Farid dan berikan jumlah yang dimahukan. Kemudian mungkin saya boleh jual semula rumah ini. Tetapi, sekarang sudah tak boleh buat apa-apa sebab rumah bakal dilelong,” katanya.

Menurut David lagi, rumah tersebut tidak didiami oleh Farid sebaliknya disewakan kepada bekas pekerja. Katanya lagi, dia yang membayar wang pendahuluan untuk kira-kira 30 kakitangan sebagai hadiah kecemerlangan kutipan filem terbitan MIG.

Tambah David lagi, dia dan Farid berhubung berkenaan kerja sahaja dan tidak ambil tahu mengenai soal peribadi aktor tersebut.

“Kami memang tidak pernah bercerita soal peribadi. Sebab itulah saya tak tahu Farid ada masalah kewangan.

“Kami berhubung pun hanya berkaitan kerja, dia hubungi saya minta diberikan watak hero dan saya tawar berlakon dalam filem Bisikan Dosa. Selain itu, saya memang tidak ambil tahu mengenai soal kehidupan peribadinya,” katanya.

SUMBER: BH Online