fbpx

“Duit Kemenangan Untuk Keluarga, Nak Gembirakan Mereka”

Tahniah diucapkan kepada Naim Daniel apabila lagu ciptaanya bersama Omar K, Sumpah dipilih juara Anugerah Juara Lagu Ke 34 (AJL34), malam tadi. Membawa pulang RM50,000, Naim berkata wang kemenangan itu adalah untuk keluarganya.

Menurut Naim, hampir 15 tahun berada dalam industri hiburan tanah air tidak banyak yang dapat diberikan kepada ibu bapanya dan gembirakan keluarga. Ujarnya lagi, dia akan cuba sedaya upanya untuk membalas jasa ibu bapanya.

BACA: Sumpah Bergelar Juara Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34)

“Wang kemenangan yang diterima ini saya ingin dahulukan untuk keluarga dan ingin buat mereka gembira. Sebagai anak, saya sedar tidak banyak yang dapat saya berikan kepada keluarga saya jika dibandingkan dengan apa yang mereka berikan.

“Namun apabila Allah beri tanggungjawab serta bakat nyanyian dan lakonan saya akan cuba sehabis baik untuk membalas jasa mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Masih baru dalam bidang nyanyian, Naim tidak menyangkakan kemenangan tersebut kerana ramai lagi pencipta lagu yang hebat-hebat. Katanya lagi, dia menganggap kemenangan lagu Sumpah adalah satu lembaran baru buat dirinya pada tahun 2020.

“Sebagai pendatang baru, saya sangat bersyukur dan berbangga apabila dapat bersama dan berkongsi pentas dengan pengkarya hebat tanah air. Sesuatu yang tidak terjangkau dalam fikiran saya.

“Jujur memang ada perasaan gemuruh. Saya rasa itu adalah perasaan yang bagus untuk diri saya kerana saya rasa bernyawa dan mengharungi cabaran itu dengan sesuatu yang di luar jangkaan kita.

“Saya anggap persembahan ini bukan persembahan saya semata-mata tapi satu tanggungjawab untuk menghiburkan penyokong yang selama ini meminati lagu Sumpah,” katanya.