Sudah lima tahun bergular duda, pelakon Adam Shahz mengakui sering menerima mesej peribadi di media sosial daripada wanita yang mahu berkenalan dengannya.
Memetik Harian Metro, Adam berkata ada wanita yang mengajaknya berkahwin selepas mendakwa bertemu di dalam mimpi. Namun, dia belum terfikir untuk berkahwin kerana mahu memberi fokus kepada ibunya yang kurang sihat di kampung.
BACA: Adam Shahz Sedia Serah Hak Jagaan Anak Kepada Fatin Afeefa
“Saya tidaklah serik untuk berkahwin lagi, cuma sekarang mahu fokus pada keluarga dan menjaga emak yang sakit. Saya fikir ini adalah masanya untuk beri fokus kepada emak yang sebelum ini saya akui jarang dilakukan.
“Malah, setakat ini pun saya ada juga berkawan dengan wanita yang bukan dalam karier seni. Namun, untuk melangkah ke fasa hubungan yang lebih serius itu rasanya belum lagi dan saya masih perlukan masa,” katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata status dudanya itu tidak dipandang sinis sebaliknya ramai yang mahu mendekatinya serta mengenalinya dengan lebih rapat.
“Selama menjadi duda dan bapa tunggal ini, saya tidak dipandang sinis oleh sesiapa, tapi orang asyik nak ‘try’ (cuba). Kalau tengok mesej DM yang saya terima di Instagram, memang banyak.
“Kadang-kadang rasa nak balas mesej daripada orang saya kenal di Instagram pun tak selesa, sebab kalau saya buka nak tengok ditakuti individu-individu terbabit kirim mesej itu tahu saya sedang ‘online’.
“Sudahnya saya akan pandang saja kiriman mesej diterima itu tanpa membalas pun. Antara mesej yang ditulis, ramai wanita ajak saya berkahwin tak kiralah mereka berstatus bujang dan ibu tunggal.
“Ada juga yang ajak saya nikah sebab katanya kami bertemu di dalam mimpi. Tak kurang juga, ada pengirim mesej yang menyifatkan saya dan dia boleh jadi pasangan secocok kerana pengalaman kisah hidup kami lalui sama,” katanya.
Terdahulu, Adam pernah mendirikan rumah tangga dengan Fatin Afeefa namun bercerai pada 2017. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Ivy Herra Sophia, 8.