fbpx

Dua Tahun Kahwin, Luqman Hafidz Mengaku Sudah Ceraikan Isteri

Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Luqman Hafidz mengesahkan perkahwinannya dengan isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi sudah pun berakhir pada Jun lalu.

Memetik Harian Metro, Luqman berkata dia akhirnya berkongsikan mengenai perkara itu selepas ramai pihak bertanyakan termasuk pihak media.

BACA: Luqman Hafidz Kunci Mulut Dakwaan Rumah Tangga Bergolak

“Sampai masanya untuk saya kongsikan dan mengesahkan yang saya sudah pun berpisah dengan isteri pada bulan Jun yang lalu.

“Kami berpisah cara baik di mahkamah. Sekarang fokus kami adalah memberikan kehidupan yang baik pada anak kami,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman berharap orang ramai menghormati serta memberikan ruang kepada dirinya serta keluarga. Luqman turut memohon maaf di atas segala kekalutan yang berlaku.

“Saya sedar status saya sebagai anak seni tak lari dari perhatian masyarakat. Justeru saya tampil memberikan kenyataan ringkas ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau tanda tanya berterusan dari mana-mana pihak. Semoga tiada lagi spekulasi yang timbul selepas ini.

“Saya berharap agar pihak media khususnya dapat memberikan ruang kepada saya dan menghormati keputusan ini bagi menjaga hati keluarga saya juga bekas mentua. Saya mohon maaf atas segala kekalutan sebelum ini.

“Fokus saya sekarang adalah kerja keras bagi mencari rezeki dan sebagai seorang bapa, tanggungjawab ini adalah keutamaan saya. Saya pohon semua titipkan doa yang baik2 dan saya doakan yang terbaik juga buat kalian,” katanya.

Luqman mendirikan rumah tangga dengan Nurul Atiqah pada 20 Mac 2020.. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Eve Laura kini berusia setahun.