Dua Program Baharu SDG 2024 Buka Peluang Hebat Untuk Belia Malaysia!

Konvensyen SDG Belia Malaysia 2024 membawa dua program hebat yang memberi peluang kepada belia untuk terlibat dalam pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Dengan fokus kepada pendidikan dan penyelidikan, kedua-dua program ini bukan sahaja memperkasakan belia, tetapi membuka ruang untuk menjadi pemimpin yang mampu mencipta perubahan global.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merasmikan Konvensyen Kebangsaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Belia Malaysia 2024 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC).

Konvensyen yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui IYC dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) ini telah berlangsung pada 16 hingga 18 Disember lalu.

Nak tahu apa program yang bakal mengubah belia Malaysia di masa depan? Baca sampai habis okey!

Generasi Muda, Generasi Cerdas

Salah satu program yang diperkenalkan adalah Program Sekolah SDG, yang bertujuan untuk menyemai kesedaran mengenai SDG (Sustainable Development Goals) dalam kalangan pelajar sekolah.

Nak tahu kenapa ia penting? Sebab, generasi muda kini perlu lebih peka terhadap isu global dan cabaran alam sekitar.

Dengan program ini, para pelajar bukan saja didedahkan dengan SDG, malah turut diajar untuk berfikir dan bertindak bagi menyelesaikan masalah masyarakat setempat. Bayangkan kalau semua pelajar sekolah ada kesedaran tinggi tentang dunia yang mereka warisi!

Selain itu, konvensyen kali ini turut memperkenalkan Program Youth as Researchers (YAR). Dalam program ini, belia diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan pembuatan dasar. Paling best, YAR memberi peluang untuk belia menjadi pemimpin masa depan yang akan membentuk agenda pembangunan belia di peringkat global dan nasional.

Siapa kata belia tak boleh jadi pembuat dasar? Program ini membuktikan bahawa suara belia sangat penting dalam membentuk dunia yang lebih baik!

Konvensyen ini bukan sekadar tempat berkumpul, tetapi platform untuk belia Malaysia berkongsi tindakan mereka dalam merealisasikan SDG. Selain itu, forum utama bertajuk “Unboxing Global Pact for the Future: Declaration on Future Generations” juga menjadi medan bagi pemimpin muda untuk membincangkan hala tuju masa depan.

Dengan sokongan penuh daripada pelbagai pihak, konvensyen ini pasti akan menjadi titik tolak kepada generasi muda untuk lebih progresif, bertanggungjawab, dan siap sedia berhadapan dengan cabaran global yang akan datang.

Inisiatif ini juga sejajar dengan hasrat Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 yang memberi penekanan kepada pengantarabangsaan, kelestarian dan kepimpinan belia.

Diharapkan usaha ini dapat menggerakkan lebih ramai belia untuk aktif dalam komuniti dan terus menjadi agen perubahan. Kita semua boleh!

×