fbpx

Dua Kali Gagal IVF, Siti Elizad Reda Soal Zuriat

Pelakon Siti Elizad berkata dia reda dan tidak mahu terlalu memikirkan soal zuriat selepas dua kali gagal dalam rawatan kesuburan in vitro fertilisation (IVF).

Memetik Harian Metro, Elizad berkata dia mahu menjaga kesihatan mentalnya serta reda memandangkan usianya hampir mencecah 40 tahun.

BACA: Siti Elizad Syukur Bapa, Mentua Tak Tanya Soal Zuriat

“Saya tidak mahu terlalu fikir soal untuk dapatkan anak kerana tidak mahu dapat ‘anxiety’ pula nanti. Saya juga sudah reda kerana usia pun sudah nak masuk 40-an,” katanya.

Sementara itu, Elizad berkata doktor ada menawarkan untuk menjalani IVF buat kali ketiga namun dia tidak bercadang untuk melakukan rawatan berkenaan kerana mahu kembali berlakon.

“Saya dan suami serahkan soal anak kepada aturan Allah SWT. Kalau ada rezeki nanti adalah,” katanya.

Dalam pada itu, Elizad berkata buat masa ini dia tiada perancangan untuk mengambil anak angkat.

“Setakat ini, tiada perancangan untuk ambil anak angkat kerana suami juga sudah ada anak dari perkahwinan terdahulu. Saya juga berasal dari keluarga yang besar dan memiliki anak saudara yang ramai,” katanya.

Terdahulu, Elizad menjalani rawatan IVF pertama pada Februari 2020 namun mengalami keguguran pada November tahun yang sama. Kemudian, Siti Elizad juga menjalani rawatan IVF buat kali kedua pada Mac lalu namun gagal.