fbpx

DSV Mahu Kejuaraan Aishah Ditarik Balik, Tak Layak Menang

Semalam penyanyi Aishah memberitahu beliau menolak tawaran usahawan komestik, Datuk Seri Vida yang mahu menggantikan barangan kemas tersebut dengan Lavida Coin dan hanya bersetuju jika ianya itu ditukar dengan wang tunai atau emas yang sama nilai.

Bagaimanapun hari ini, Vida menegaskan beliau tidak akan menuruti permintaan Aishah kerana hadiah tersebut sebenarnya tiada dalam senarai hadiah utama bagi juara Gegar Vaganza musim keempat.

BACA: Aishah Tunjuk Bukti Hadiah Emas DSV Palsu

“Saya takkan ganti dengan wang tunai mahupun barang kemas bernilai RM80,000. Saya hanya akan ganti dengan Lavida Coin, ‘you take it or leave it’.

“Kenapa saya perlu bagi duit pula kat dia? Lagipun rantai itu saya bagi seikhlas hati. Kalau dia tak nak Lavida Coin bermakna dia orang paling rugi atas muka bumi ini,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Vida juga mahu pihak Astro pertemukan mereka berdua untuk membersihkan imej beliau serta mencadangkan agar gelaran juara yang diberikan kepada Aishah ditarik balik kerana barang kemas itu hanyalah hadiah tambahan dan bukannya ganjaran utama.

Vida juga turut memberitahu, tiada sebab untuk beliau meminta maaf kepada Aishah kerana beliau tidak menipu dan barang kemas itu bukannya palsu.

“Saya nak pihak Astro jumpakan saya dengan Aishah sebab hadiah itu bukan ditawarkan kepada juara seperti yang diuar-uarkan. Saya bagi atas dasar ikhlas dan tiba-tiba dia buat begini pula. Saya mahu nama saya dibersihkan. Saya mahu kejuaraan dia ditarik balik, dia tak layak dapat nombor satu tapi nombor 10.

“Buat apa saya nak minta maaf. Saya tak buat apa-apa salah. Lagipun rantai emas putih bertatahkan batu permata itu bukan palsu,” ujarnya.